Posts

Puteri Alam Zara

  Puteri Alam Zara “Hey, dilarang mengambil gambar di sini!” jeritku marah. Ketenanganku terusik. Lampu flash kamera berwarna putih terang menyilaukan mataku. Seorang jurugambar lelaki berpakaian t-shirt biru memacukan lensa kameranya ke arah bunga yang sedang kuhidu. Aku cuba mengamati wajahnya. Namun, kamera digital yang sedang dipegangnya menghalang pandangan mataku. Bukankah ini adalah kawasan larangan?  Papan tanda amaran pun sudah diletakkan di hujung pagar. Pihak pengurus resort telah berjanji untuk menyitakan ruangan ini sebagai tempat bermainku sejak pusat pelancongan ini mula dihidupkan dulu.

Zulkiflil

Aku memerhatikan murid-muridku yang sedang menyiapkan tugas yang telah kuarahkan. Ada yang menunduk dengan penuh kosentrasi menyudahkan kerja, ada yang menulis sambil sesekali berbual, ada pula yang termenung menggigit pen sambil memerhatikan kipas yang berputar. Mataku terhenti di sebuah bangku kosong di deretan dua dari kanan. Penghuni bangku itu kerap tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang benar-benar dimaklumi guru. Tanpa surat, tanpa basa-basi, penghuni kerusi itu datang sesuka hatinya. Guru-guru sudah bosan memberinya amaran. Kalau dikirim surat amaran, kita akan dapati kalau surat itu akan sengaja tertinggal di laci sekolah.

Surat Kepada Tuhan

Aku menghembus sisa-sisa asap rokok di mulutku dengan hati yang masih panas. Begitu semua asapnya habis keluar, rokok yang sudah separuh itu kusedut lagi dalam-dalam. Aku dapat merasakan nikotin merasuki paru-paruku. Aku tersedak seketika. Pasti racun itu sudah mengotori paru-paruku hingga ia tidak mampu lagi bekerja dengan baik. Rokok sialan! Makiku dalam hati. Atau manusia yang sialan? Sudah tahu merokok itu membahayakan kesihatan, tapi masih juga dibeli dan dihisap. Kubuang puntungnya ke lantai dan kupijak dengan kasutku. Puntung itu pun melunyai di lantai dermaga. Kalau itu Dani, alangkah baiknya, ketusku dalam hati.

Sebuah Kematian Suri

Aku seperti manusia yang kehilangan ingatan. Aku tidak tahu mengapa aku di sini, apa yang kucari dan apa yang kutunggu. Sudah tiga hari aku begini. Tepat jam lima tiga puluh petang, aku akan ke pondok bas ini seperti menunggu seseorang menjemputku. Namun orang yang kutunggu tak pernah kunjung tiba. Bahkan orang yang kutunggu itupun tak ku tahu siapa. Aku akan terus di sini menunggunya  sehinggalah bunyi ledakan yang kuat itu tiba. Pun, bunyi ledakan itu tidak kutahu dari mana puncanya. Begitu alam beransur gelita, aku akan diserang kantuk yang hebat. Bila aku terjaga, aku dapati aku masih di sini, tepat pada masa yang sama seperti kelmarin. Lelah kucuba mengingat di mana rumahku, siapa namaku, bahkan ahli keluargaku. Tiada satupun ingatan yang muncul di kepalaku. 

Ada Hantu Di Kepalaku

            Ada hantu di kepalaku. Hantu itu berupa wajahku. Hanya wajahnya jauh lebih hodoh dariku dengan kulit kehitaman dan mata yang merah menyala. Tubuhnya kadang kurus, kadang gemuk, bergantung kepada amal kebaikan yang aku lakukan. Semakin aku banyak melakukan kebaikan, semakin kurus tubuhnya. Lalu dia marah-marah dan mengamuk kelaparan. Dia akan memekik-mekik di telingaku dengan suaranya yang gempita. Nyaringnya menimbulkan desing dan sakit yang luar biasa di kepalaku. Biji-biji ubat pembunuh sakit pun tidak akan dapat menghentikannya. Dia hanya akan berhenti kalau aku nekad meminta doktor menyuntikku dengan ubat penenang. Lalu kami akan terbang bersama dalam kepulan awan yang putih. Aman.

Baby Boo

Aku membuka mataku dengan keengganan yang melampau. Cahaya lampu kalimantang yang putih kekuningan menyilaukan pandangan mataku. Bunyi-bunyi suara melantang terdengar dari luar bilik. Bunyi suara itulah yang sering menjadi jam penggera membanguniku setiap subuh. Namun tidak biasanya suara itu ribut pada jam dini seperti ini. Siapalah yang memerlukan ribut saat fajar belum terbit di kaki horizon? Apalagi aku yang telah melalui sebuah kejadian malang kerana kehilangan nendaku yang tersayang tiga hari yang lalu. Musim sedihku belum berakhir. Penat mengurus jenazah dan kenduri nenek di kampung pun masih tersisa di badan.

Lelaki Bermata Kejora

Kami bertemu buat pertama kalinya pagi itu. Sebuah pagi yang kumulai dengan muncung yang panjang. Pagi yang kurasa sangat tidak istimewa. Aku masih memprotes keputusan abah yang mahu berpindah semula ke kampung halamannya setelah begitu lama hidup di perantauan. Kerja abah sebagai seorang polis laut sering membuat kami sekeluarga hidup berpindah-randah dari suatu daerah ke suatu daerah, bahkan dari negeri ke negeri. Lalu abah ingin menamatkan cara hidup nomad itu dengan meletakkan jawatannya dan kembali semula ke kampung halamannya di Pekan Papar.