Surat Kepada Tuhan

Aku menghembus sisa-sisa asap rokok di mulutku dengan hati yang masih panas. Begitu semua asapnya habis keluar, rokok yang sudah separuh itu kusedut lagi dalam-dalam. Aku dapat merasakan nikotin merasuki paru-paruku. Aku tersedak seketika. Pasti racun itu sudah mengotori paru-paruku hingga ia tidak mampu lagi bekerja dengan baik.
Rokok sialan! Makiku dalam hati. Atau manusia yang sialan? Sudah tahu merokok itu membahayakan kesihatan, tapi masih juga dibeli dan dihisap. Kubuang puntungnya ke lantai dan kupijak dengan kasutku. Puntung itu pun melunyai di lantai dermaga. Kalau itu Dani, alangkah baiknya, ketusku dalam hati.

Ah, Dani! Dani yang lebih bejat dari sebatang rokok. Setelah kuserah segala isi cintaku kepadanya, tega dia menghancurkannya untuk menikmati tubuh perempuan lain! Keperawananku sia-sia di tangan lelaki bernafsu serakah sepertinya. Perselingkuhannya dengan sahabat serumahku, Tasha memang tidak boleh dimaafkan lagi. Kedua-duanya pun sama jalangnya.
Aku terus menyumpah dalam hati. Sebatang rokok kunyalakan lagi. Suasana kala itu sudah sangat sepi. Hanya kudengar bunyi ombak yang memukuli kaki dermaga. Malam kian larut. Aku tidak tahu harus ke mana malam ini. Hatiku enggan balik ke rumah dan bersemuka dengan Tasha setelah peristiwa di disko tadi.
“Assalamualaikum...” tegur satu suara dari belakangku. Laju aku menoleh. Seorang lelaki separuh usia berdiri di sebelah kananku. Dia memakai baju kemeja putih berkotak dengan garis yang berwarna kuning muda. Cahaya bulan menimpa wajahnya hinggakan wajah itu bersinar cerah. Aku dapat melihat tanda-tanda iman yang tua di dahinya. Dia tersenyum memandangku. Senyuman yang manis, kukira. Barangkali dia pernah menjadi lelaki tampan suatu ketika dulu. Mudah-mudahan saja dia tidak berniat jahat. Kalau pun iya, pasti akan kupijak dia seperti puntung rokokku tadi. 
“Walaikumsalam,” jawabku sepatah. Lalu menoleh lagi ke hadapan, menghadap laut, mencuba bersikap tidak peduli. Aku merasa ketenganganku terganggu.
“Boleh pakcik tanya, nak?” tanyanya. Suaranya terdengar penuh keraguan. Tanpa basa-basi, dia duduk di sebelahku, menghadap jalan.
“Tanya apa?” ketusku dingin.
Diam. Lelaki separa usia itu tidak menyahut pertanyaanku. Dari hujung mata, aku melihat dia mengeluarkan sesuatu dari kocek depan kemejanya. Ada sepucuk sampul surat bersaiz 4 X 9 inci berwarna putih lusuh di situ. Sampul itu berlipat dua. Dia lalu membuka lipatannya dan merenung surat itu dengan tatapan kosong. Tidak ada tulisan tertera di hadapan sampul itu.
            “Tanya apa?” desakku sedikit menekan. Kali ini, aku menoleh padanya.
            “Anak ni kerja di pejabat pos, kan?”
            “Dari mana pakcik tahu?” tanyaku hairan.
            “Pakcik selalu datang ke sana,”
            “Oh...Jadi?”
            “Mahukah anak mengirimkan surat ini?”
            “Kenapa tak masukkan saja ke peti pos?” gerutuku kesal. Aku memang kerja di pejabat pos. Tapi bukan posmen! Aku malah tidak berurusan sama sekali dengan surat kerana aku hanya bertugas menjaga cawangan dan sumber manusia di situ.
            “Sebab pakcik tak tahu alamatnya,”
            “Jadi, pergilah cari alamatnya dulu,”
            “Pakcik tak tahu alamatnya, nak,”
            “Kalau pakcik sendiri pun tak tahu, macamana saya nak tolong?” balasku geram. Lelaki tua ini benar-benar sudah menambah keteganganku.
            Lelaki tua itu menarik nafasnya dalam-dalam. Wajahnya berbirat kekesalan. Samada dia kesal kerana aku tidak dapat membantunya atau dia sudah lelah menghadap bahasaku yang biadap. Timbul sebersit kekesalan di hatiku. Perlahan, aku menarik nafas, melafaz istighfar dan kemudiannya memulai lagi perbicaraan dalam bahasa dan tona suara yang sedap didengar.
            “Pakcik nak kirim surat ni pada siapa sebenarnya?”
            “Tuhan,”
Mendengar itu, aku terpempan. Tuhan? Hatiku yang sudah mulai menyurut tadi, kembali marak dengan kemarahan. Aku merasa dipermainkan. Mungkin pakcik ini orang gila dan akulah yang bodoh kerana membuang masa melayaninya.
“Kenapa perlu hantar surat pada Tuhan? Mahu memohon pekerjaan? Tiada kerja kosong jadi malaikat. Kalau mahu jadi syaitan, banyak. Itupun tak payah susah-susah memohon,” balasku bertubi. Sarkastik. Itulah yang dapat menggambarkan irama bahasaku kala itu.
 “Bukan...pakcik bukan nak mohon kerja,”
“Jadi?”
“Pakcik cuma nak memohon agar Dia mahu mengembalikan hati pakcik supaya dapat menyintaiNya kembali,”
“Oh...kenapa tidak berdoa saja? Rasanya cara itu lebih afdal, cepat, mudah diakses, effisien dan of course, lebih rasional dan manusiawi. Lagipun, aku rasa Tuhan tidak ada peti surat. Kalau pun ada, tiada posmen di dunia ni yang boleh menghantarnya,”
“Kau tak mengerti, nak...” jawabnya separuh mengeluh.
“Mengerti apa?” aku membentak marah.
Tiada respon. Lelaki itu cuma diam menekuri kerdip bintang di sepertiga empat malam.  Kubiarkan saja sepi menguasai kami hingga akhirnya dia bersuara perlahan.
“Dulu...pakcik adalah seorang yang beriman. Kalau diibaratkan sebuah mangkuk, maka mangkuk itu saban hari penuh dengan amal kebajikan dan ibadat pakcik. Saban hari pakcik bertahmid menzikirkan namaNya. Tidak ada nafas yang terhela tanpa menyebutNya...”
“Terus?”
“Suatu hari bapa pakcik meninggal. Sebagai anak sulung, pakciklah yang perlu menggalas tanggungjawab menyara keluarga. Desakan hidup menyebabkan pakcik terpaksa berhijrah ke kota metropolitan ini...” dia terhenti lagi untuk menarik nafas. Kali ini aku tidak menyampuk lagi. Kubiarkan saja dia menghabiskan ceritanya mengikut keinginannya.
“Tapi, sungguh pakcik tidak menyangka bahawa kehidupan di sini telah mengubah diri pakcik sebelum ini. Pakcik khayal dengan godaan kota yang serba baru dan mengujakan. Tanpa pakcik sedar, pakcik telah menumpahkan semua isi mangkuk yang telah penuh sebelumnya...”
Aku terpempan seketika. Ada sesuatu menyesak di ulu hatiku mendengar kisah manusia asing di sisiku ini. Aku merasa seperti disindir.
“...akhirnya pakcik sedar bahawa kehidupan yang indah itu hanyalah sebuah fatamorgana semata-mata. Ia ibarat percikan bunga api yang indah tapi tidak memberi sebarang makna. Pakcik cuba kembali mengisi kembali mangkuk pakcik dengan sisa-sisa iman yang masih tinggal. Malangnya, kerana sudah lama tidak dipakai, mangkuk itu sudah bocor. Terlalu banyak lubang yang harus ditampal...” dia terhenti lagi. Kudengar esaknya yang lirih dan merintih. Aku merasa hatiku turut menangis.
“Sudah bertahun doa pakcik panjatkan kepadaNya. Pakcik merayu padaNya, agar Dia mahu mengembalikan cinta yang pernah Dia kurniakan pada pakcik dulu. Pakcik sudah rindu benar mahu sujud padaNya. Tapi rindu dan kasih sayang itu enggan juga berkunjung meski beribu kali pakcik menjemputnya...”
“Jadi kerana itu pakcik mahu mengutus surat pada Tuhan?” tanyaku memotong bicaranya. Dia menggangguk lesu sambil meramas sampul surat putih yang sudah lusuh warnanya di tangannya itu. Tiba-tiba hatiku mendesak oleh rasa ingin mengetahui isi suratnya. Entah dari mana dia mendapat idea untuk melakukan hal yang mustahil itu.  Kalau doa pun tidak sampai, apalagi surat? Fikirku getir.
“Nak...” panggilnya, masih dengan suara lirih. “Sudah terlalu lama pakcik menyimpan surat ini. Mahukah kau menyimpankannya untuk pakcik? Kelak, bila kau temui alamat Tuhan, maka kirimkanlah surat ini kepadaNya. Tapi jangan kau kirim selagi kau tidak membaca isinya. Dan jangan pula kau membacanya tanpa memahami maknanya,” dia menghulurkan sampul itu kepadaku. Dahiku berkerut. Perlukah kuambil? Ini semua idea gila. Namun tanganku segera menerima sampul itu sebelum otakku sempat memikirkan tindak balas yang lebih rasional. Mataku terus melekat di sampul itu. Ketika kepala kuangkat, pakcik itu sudah hilang dari pandangan mataku. Sepi. Jesteru yang tinggal cuma aku, langit dan laut.
Damprat! Kemana dia?
Kisah mengenai pakcik dan suratnya segera terlupakan rentetan tuntutan masa dan kesibukan. Suratnya masih tersimpan di laci keretaku. Perselingkuhan Dani dan Tasha sudah kuselesaikan dengan meninggalkan keduanya. Merasa sudah kurang serasi bersama Tasha, aku pindah ke rumah sewa yang baru. Ketiadaan mereka dalam kehidupanku memberi sepi yang mati. Baru aku menyedari kalau selama ini aku menghabiskan seluruh masaku dengan mereka. Kebersamaan itu telah menjadikan aku tidak punya dunia lain selain mereka.
Namun ada untungnya juga hidupku tanpa mereka di sisi. Kini, aku sudah kembali menikmati kehidupan isolasiku yang pernah aku gilai dulu. Semenjak menjadi penghuni bandar, kehidupan itu telah melalui musim anjakan paradigma yang telah mengubah aku secara total.
Aku menghabiskan masaku dengan membaca buku dan melayari google tanpa tahu apa yang kucari. Namun malam itu aku merasa kesunyian yang benar-benar membunuh. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar mencari sesuatu yang bernama variasi.
Tidak tahu harus ke mana, akhirnya kaki kulangkahkan ke kelab yang sering kami kunjungi dulu. Bunyi muzik dan suara deejay terdengar kuat saat aku berdiri di muka pintu disko. Sebenarnya, aku dan disko bukanlah sahabat akrab. Aku tidak begitu menyenangi suasana malap dengan suluhan lampu-lampu biru kuning yang menyilaukan. Gema bass yang berdentum itu juga tidak pernah memberikan keriangan meski aku mampu menari mengikut rentaknya dengan baik. Aku juga merasa risih dengan gabungan bau alkohol yang bercampur dengan tubuh manusia meski bau itulah yang kuulit tiap malam di pelukan Dani.
Mengingat Dani, tiba-tiba bulu romaku merinding. Sudah lama nama itu tidak kusebut. Segurat kemarahan muncul dalam hatiku. Marah yang lebih tertumpah kepada diriku sendiri. Apalah yang kuharapkan dari dia? Memaksanya mempertanggungjawabkan keperawananku yang telah kuserahkan sendiri kepadanya?
Tanpa bicara, aku pun mengheret kembali kakiku ke luar, menuju ke keretaku. Aku sepatutnya tidak ke sini, getusku sendiri. Ketenangan yang telah lama kusemai memudar kerana keputusanku yang bodoh ini.
Aku membuka pintu keretaku dan duduk di dalamnya. Enjin kereta kuhidupkan tanpa tahu harus ke mana. Aku hanya mengikut gerak hati. Akhirnya, aku mendapati aku sudah berada di dermaga yang lebih setahun aku tinggalkan.
Perlahan, aku keluar dari kereta dan duduk di tepi dermaga. Tiba-tiba aku teringat kisah pertemuanku dengan pakcik tua separuh normal dengan idea gilanya. Suratnya masih kusimpan di laci kereta. Satu persatu perbualan kami datang mengitari benak fikirku. Kisah kehidupannya hampir menyamai rentak yang takdir yang telah kulukis sendiri selama ini. Bezanya cuma terletak pada nilai keinsafan. Pakcik itu sudah melalui satu fasa yang belum aku lalui lagi. Dia sudah mulai memenuhkan mangkuknya kembali. Sedangkan aku?
Tanpa sedar aku berbalik menuju ke kereta dan mengambil surat itu. Ketika aku duduk kembali di batuan dermaga, dadaku berdebar kencang. Suasana seram sejuk tiba-tiba menguasai diri. Perlukah kubuka surat ini?
Sekali lagi tanganku menjadi pengkhianat tegar. Surat itu kubuka dengan hati enggan dan ingin tahu. Gabungan kedua perasaan itu ternyata sangat meresahkan. Antara mahu dan tidak, surat itu kini sudah merentang di kedua belah tanganku.
Ternyata ia adalah sebuah doa. Aku mulai membaca dengan jiwa yang bertatih.
Ya Allah, Ya Malikul Kudus…
Telah putihlah rambutku dan telah kedutlah kulitku, longgar tulang-temulangku dan tercabutlah semua gigiku, namun tetap juga aku tak pernah melihatMu.
Ya Allah, Ya Rabbul-Jalal...
Aku memohon ehsanMu, padaMu yang selalu tersenyum padaku, padaMu yang selalu baik padaku, padaMu yang tidak pernah meninggalkan aku, padaMu yang selalu menegur dan mengingatkan aku, padaMu yang selalu menemani aku, menghiburkan aku,
 pada KasihMu  yang penuh dengan Ar-Rahman Ar-Rahhim, yang selalu setia menyintai aku, yang selalu membimbing aku baik dalam terang mahupun dalam gelap, padaMu yang punya kudrat dan iradat seluas alam, padaMu yang selalu aku tinggalkan, padaMu yang selalu aku abaikan, padaMu yang hatiku dan imanku tak pernah tetap, pada takdirMu yang selalu aku pertikaikan, pada nikmatMu yang jarang aku syukurkan, pada rahmatMu yang enggan ku akukan, padahal tak pernah putus Kau limpahi aku dengan segala kurniaMu, lalu masih jua aku tak melihat, padahal telah kau janjikan aku Jannah FirdausMu, lalu masih jua aku engkari, padahal masih jua Kau hidup dalam nafasku, namun tetap jua aku tak merasa hadirMu, lalu tetap jua Kau berada di sisiku, menemani aku. Dan bahawa sesungguhnya, Kau tetap Kau jua Ya Allah, Tuhan ku yang Esa.
Ya, Allah yang jiwaku ada di tanganMu…
PadaMu kini aku melutut, dengan segala rendah diriku dan dengan sekecil-kecilnya diriku, memohon EhsanMU, KasihMu; Kau selamatkanlah aku dari kehidupan duniawi yang maha palsu ini. Kau tumbuhkanlah kembali rasa cinta di hatiku untuk kembali mengamin FatihahMu, Kau bukakanlah hatiku dan cairkanlah tembok-tembok egoku yang selalu degil untuk mencium sejadahMu. Ya Allah, kalau benarlah hatiku ini juga Kau perbuat dari segumpal daging merah, Kau bukakanlah mata hatiku dalam memperbaiki segala kesilapanku dan kelalaianku sama ada aku sedar mahupun tidak. Janganlah Kau benarkan lagi Azazil dan pengikutnya, menyusup antara qulbiku, membisik antara solat dan airmata kami untuk terus mengkhianati janji yang terlafaz atas namaMu ya Allah.
Ya Allah, Ya Hakiki,
Kau kekalkanlah cinta di hati kami, agar kami mampu berbuat amal soleh, tumbuh bagai padi yang menunduk, yang mana hasilnya akan kami tuai di akhirat nanti. Sungguh aku tidak terdaya menerima ujian dan godaan dunia,  ya Allah. Lalu ku serahkan segalanya kembali ke tanganMu. Maka Kau perhitungkanlah setiap satunya, mengikut kehendak dan perancanganMu.
Ya Allah, Tuhanku yang Esa dan tidak pernah tidur,
Berikanlah setitis hidayah kepadaku dan kurniakanlah pengakhiran yang baik untukku sepertimana telah Kau hadiahkannya kepada orang-orang sebelumku. Hanya padaMu aku meminta dan berserah. Sesungguhnya, engkaulah sebaik-baik tempat mengadu.
Amin, Amin Ya Rabbal Alamin...
            Aku merasakan goncangan hebat di dalam dadaku. Goncangan itu menimbulkan sebak yang bukan kepalang hingga akhirnya mataku memuntahkan isi nanarnya. Siapakah kau wahai lelaki misteri? Engkaukah yang gila atau akukah yang gila menafsir semua ini?
Tiba-tiba aku terbayang wajah arwah abah dengan rotan di tangan. Rotan itu sentiasa setia hinggap ke kakiku bila aku sengaja melalaikan waktu solat. Abah menghantar aku ke sekolah agama agar aku dapat melengkapi diriku bila nanti Malaikat Mungkar dan Nangkir menyoalku di alam kubur. Usai sekolah, abah memaksaku memilih melanjutkan pelajaran dalam  jurusan agama. Namun akhirnya, bila abah sudah tiada, segala didikan abah kucicirkan dengan memilih simpang yang keliru. 
            Abah sudah melakukan segala yang dia terdaya untuk mencukupkan segala bekalan dunia dan akhiratku. Kelak kalau disoal di akhirat, aku yakin abah sudah terlepas dipertanggungjawabkan dari beban dosa-dosaku. Tapi apa yang telah aku lakukan? Nyatanya kemanisan duniawi telah berjaya membunuh seorang Nur Fatimah satu persatu.

            Aku menangis semahuku. Ya Allah...kembalikanlah diriku yang dulu!

Comments

Popular posts from this blog

Sebuah Kematian Suri

Puteri Alam Zara

Ada Hantu Di Kepalaku