Ada Hantu Di Kepalaku
Ada hantu di kepalaku. Hantu itu
berupa wajahku. Hanya wajahnya jauh lebih hodoh dariku dengan kulit kehitaman
dan mata yang merah menyala. Tubuhnya kadang kurus, kadang gemuk, bergantung
kepada amal kebaikan yang aku lakukan. Semakin aku banyak melakukan kebaikan,
semakin kurus tubuhnya. Lalu dia marah-marah dan mengamuk kelaparan. Dia akan memekik-mekik
di telingaku dengan suaranya yang gempita. Nyaringnya menimbulkan desing dan
sakit yang luar biasa di kepalaku. Biji-biji ubat pembunuh sakit pun tidak akan
dapat menghentikannya. Dia hanya akan berhenti kalau aku nekad meminta doktor menyuntikku
dengan ubat penenang. Lalu kami akan terbang bersama dalam kepulan awan yang
putih. Aman.
Aku
tidak sedar sejak bila hantu itu wujud. Aku cuba mengingat. Mungkin sekitar
lima belas tahun lalu saat aku menikam ayahku sendiri dengan belati tajam yang
selalu kusimpan di bawah tilamku. Ataukah ia wujud sejak lama dahulu, saat ayah
menjadikan ibu sebagai mangsa deranya dan aku sebagai mangsa kepuasan nafsu serakahnya.
Aku tidak pasti.
Pada
mulanya hantu itu berupa anak kecil manis yang kukira adalah kembarku. Dia
sering mengunjungiku di kamar saat aku menangisi nasib malangku. Dia memujukku
dengan suaranya yang lunak dan membawaku bermain dalam dunianya yang aneh.
Semakin lama, dia kian kerap mengunjungiku hingga aku merasakan kebergantungan
yang melampau kepadanya. Hanya dialah satu-satunya teman yang memahamiku kala
itu. Teman-teman yang lain hanya tahu mentertawakan nasibku. Atau paling tidak,
sekadar menghulur tatapan simpati.
Masa
berlalu dan kembarku itu pun ikut beranjak dewasa mengikut usia perkembanganku.
Dia masih setia di sisi menemani aku. Tapi kali ini dia tidak lagi mengajak aku
bermain ke dunianya yang aneh. Dia sudah mulai membisikkan saranan-saranan agar
aku mampu melindungi diriku dari terus menjadi mangsa keadaan. Kalau aku enggan
menuruti permintaanya, dia akan merajuk marah dan meninggalkan aku sendirian.
Akhirnya terpaksalah aku memujuknya dengan melakukan segala saranannya. Saranan
pertama yang aku tunaikan adalah melempar batu ke kepala anak jiranku yang
sudah sering mempermainkan aku. Anak itu menjerit kesakitan dengan darah yang
mengalir dari dahinya. Aku merasa kepuasan yang luar biasa saat itu. Kami kemudiannya meraikan kemenangan yang
indah itu dengan menari di bawah pohon ketapang depan rumah.
Sejak
peristiwa itu aku menyedari ada sesuatu yang lahir dalam diriku yang bernama
keyakinan diri. Semakin hari, semakin banyak saranannya yang aku penuhi. Anehnya,
semakin banyak dendam yang terbalas, semakin dia berubah wajah dan watak.
Wajahnya yang mulus itu dulu kini berubah menjadi hantu yang mengerikan.
Matanya terbelalak dan mulutnya sentiasa menyeringai sampai aku sendiri takut
melihatnya.
Aku
cuba menghalaunya pergi. Tapi persahabatan kami sudah benar-benar sebati. Dia
bagai darah yang mencantum dalam urat nadiku. Sukar untuk kupisahkan diriku dan
dirinya meski aku sudah tidak sanggup menatap wajahnya lagi. Sesuatu dalam
diriku begitu menyintai keberadaannya hingga aku sendiri tidak rela
melepaskannya pergi. Dia hanya benar-benar pergi dariku setelah lima tahun aku
menjalani terapi psikologi di hospital bahagia. Semenjak itu aku tidak pernah
melihatnya lagi.
Namun semenjak dua menjak ini hantu itu muncul
kembali. Aku tidak tahu apakah yang telah membebaskannya dari penjara bawah
tanah yang telah kukedap mati selama ini. Perjuanganku untuk bertahan selama lima belas
tahun terasa seperti sia-sia. Kukira dia sudah mati. Ternyata tidak. Dia muncul
secara perlahan dan senyap untuk pertama kali saat kujemput ibu dari penjara. Dia
kemudiannya muncul dalam bayang sekilas. Bayang itu akhirnya menjadi subjek
yang jelas ketika aku sudah mulai melihat seringainya di kepalaku.
“Lia, kenapa termenung?” tanya ibu
suatu hari saat aku sedang melamun di depan balkoni rumah. Aku tersentak kaget.
Hantu di kepalaku berbisik kalau ibu hanya berpura-pura ramah. Aku adalah
pembunuh satu-satunya lelaki yang dicintai ibu, meski lelaki itu tidak pernah
memberi sezarah pun kebahagiaan padanya.
Melihat ibu masih menunggu
jawapanku, aku menggeleng laju-laju. Buru-buru aku berdiri meminta diri lalu
menuju ke bilikku. Kupanggil Mia, gadis mungilku yang comel dan lugu. Sampai di
bilik, aku mengunci pintu dan memeluk Mia erat-erat di atas katil. Tubuhku merinding
sejuk. Mungkin hantuku benar. Ibu pasti berdendam denganku. Aku tidak hanya
membunuh suaminya, malah aku juga telah menyebabkannya terkurung dalam penjara
selama lima belas tahun atas kesalahan yang aku lakukan.
***
Malam itu dingin sekali. Angin
bertiup kencang hingga mengeluarkan bunyi di atas zink yang tidak dipaku ketat.
Aku menggigil kesejukan di dalam bilik. Ibu beberapa kali memanggilku meminta
aku menadah besen supaya titis hujan nanti tidak akan membasahi lantai.
Perintahnya tidak kusahut. Aku dingin. Betul-betul dingin.
Di saat kedinginan yang mencengkam
itulah kudengar suara enjin teksi ayah berhenti di depan rumah. Jantungku
mendadak berdegup kencang. Kudengar suara pintu ruang tamu dibuka. Tiada
perbualan. Hanya bunyi sudu dan pinggan terdengar menandakan ayah sedang makan.
Hantu di kepalaku pun datang. Dia
memintaku untuk bersedia. Katanya, selesai makan ayah akan datang mengunjungiku
di bilik. Bersedialah, Lia. Inilah saatnya. Jangan biarkan dia
menyakitimu lagi, bisiknya berkali-kali. Aku memejamkan mataku rapat-rapat
dan berharap agar semua itu tidak benar. Tapi hantuku tidak pernah berbohong.
Setengah jam berlalu.
Pintu bilikku pun dikuak. Tanpa
membuka matapun aku tahu kalau itu adalah ayah. Bunyi tapak kakinya yang pelan
dan hati-hati itu sudah cukup sinonim melingkari kehidupanku. Perlahan, aku
merasa selimutku ditarik kebawah. Selepas itu, kerutinan pun berlaku. Bezanya
malam ini aku tidak memekik kesakitan seperti selalu. Semua itu sia-sia belaka.
Menjerit atau tidak, semuanya sama saja bagi ayah. Dia tidak akan menghentikan
perbuatannya sementara ibu pula sudah terbiasa menulikan telinganya.
Kudengar hantuku memekik menyuruhku
bangkit melawan. Tunggu, desahku
sambil tersenyum dalam hati. Kudratku tidak kuat melawan tubuh ayah yang kekar
saat ini. Biarkan dulu dia menyudahkan kerja terkutuknya. Selepas ini...ya...selepas ini...
Badanku berhenti bergoncang.
Pertarungan itu telah tamat. Dari ekor mata kulihat ayah sudah bangkit dan
mengambil kain pelikatnya yang terlutut di bawah kaki. Dia melirikku yang kaku
terlentang. Matanya bersinar kepuasan dan ketidakpedulian yang sangat aku
benci. Sudut bibirnya menjungkit ke atas, berupa senyum yang sinis. Lalu bibir
itu kemudiannya mencebir ke bawah diikuti dengan gerakan bahu yang tidak acuh.
Sekarang,
Lia! Sekarang! Hantuku berbisik. Tanpa mengubah kedudukan badanku, aku memanjangkan
tanganku untuk mengambil belati yang kusimpan di bawah katil. Belati itu sudah
lama kusimpan di situ. Aku mengasahnya setiap hari. Namun wajah ibu sering
menghalangku dari menggunakannya. Ibu begitu menyintai ayah meski cintanya
hanya dibalas dengan kesakitan demi kesakitan. Kerana cintalah ibu tega
mengorbankan anaknya sendiri menjadi mangsa kebuasan ayah. Tapi tidak hari ini,
fikirku getir.
Hantu di kepalaku bersorak. Aku
bangkit saat ayah menggeliatkan badannya dalam posisi membelakangiku. Dengan
sigap aku bangun dari katil dan berlari menuju ke arahnya. Sepenuh tenaga, aku
menancapkan belati itu tepat di belakang ayah. Kudengar bunyi daging terkoyak
beradu dengan suara lengkingan nyaring ayah. Tubuh ayah terpuruk ke lantai. Dia
terbaring menelentang dengan mata terbelotot ngeri memandangku. Aku melompat ke
perutnya lalu menancapkan belati itu lagi menembusi jantungnya. Aku memekik
histeria.
Aku sakit tahu
tak? Bisa tusukanmu menembus masuk sampai ke jantungku yang kecil sempit dan
kering. Tidakkah
kau tahu itu, ayahku? Sekarang kau rasakan tusukan belatiku. Sakitkan? Itulah sakit yang aku rasai
bertahun lamanya. Kulihat tubuh ayah menggelupur di atas lantai. Nafasnya
tinggal satu-satu.
Saat
itu ibu datang menerobos ke bilik. Lengkingan kami bertiga berpadu memecah
hening malam. Kudengar suara orang ramai berkerumun di bawah rumah. Ada yang
mengetuk pintu. Ketika pintu berjaya ditendang oleh salah satunya, ibu menolak
tubuhku ke lantai. Dia membalingkan selimut agar aku dapat menutup tubuhku yang
telanjang lalu merampas pisau di tanganku. Aku tidak dapat menerima perlakuan
ibu. Aku melakukan semua ini demi sebuah pembebasan mutlak. Aku berteriak
mengakui kebenaran, memarahi ibu sekaligus mentertawakan ayah yang menggelupur
di atas lantai. Tidak ada yang percaya padaku. Bagi mereka, aku hanyalah gadis
lugu yang menjadi mangsa keadaan. Ketika ubatan tidak dapat membuatku tenang,
aku akhirnya dihantar ke pusat pemulihan untuk membaiki otakku yang sudah
berkarat.
***
Aku
terjaga begitu mendengar suara halus di telingaku. Ketika mata kubuka, perkara
pertama yang kucari adalah Mia. Si mungil itu sudah tidak berada dalam dakapanku
lagi. Buru-buru aku bangkit dari katil dan menuju ke tingkat bawah. Sampai di
ruang tamu, kulihat Naim, suamiku sudah pulang. Dia tersenyum melihat
kehadiranku. Mia berada di atas pangkuannya.
“Sayang....?
Sudah bangun?” tanyanya senang. Mia melambaikan tangannya padaku. Sementara ibu
pula duduk santai di salah sebuah sofa. Dia juga menerima kehadiranku dengan
senyum yang mengembang.
Segurat
perasaan kurang selesa yang entah dari mana datangnya mengetuk hatiku melihat
semua adegan itu. Ia bagaikan sebuah putaran pita yang mengulang sebuah filem
lama; aku di pangkuan ayah manakala ibu pula hanya diam mematung. Hantuku
datang menambah kelazatan rasa curiga yang penuh paranoid. Agh! Lupakan! Naim
bukan sejalang ayah dan dia tidak mungkin akan mencederakan walau sehelai pun
rambut puteri kami. Tidak tahu apa yang dapat kulakukan di sana, aku
membalikkan semula badanku untuk naik ke tingkat atas.
Ketika
aku mahu mencapai tombol pintu bilik, kulihat ibu berjalan di hadapanku.
Bukankah ibu berada di bawah tadi? Sejak bila dia berjalan memintas aku?
tanyaku hairan. Barangkali aku terlalu lama termenung di tangga tadi hingga aku
tidak sedar kalau dia sudah berjalan melewati aku. Ibu berjalan tegak dan lurus
tanpa mempedulikan aku yang kehairanan melihatnya.
Merasakan bahawa itu semua tidak
penting, aku terus masuk ke bilik. Kucapai tuala dan masuk ke kamar mandi yang
memang berada di kamar tidurku. Paip air kubuka. Curahan air yang dingin
melegakan sedikit kepalaku yang selalu mengeluarkan wap panas. Tiba-tiba aku
mendengar suara gaduh di luar. Ia bermula dari suara ibu yang memekik ngeri.
Lalu diikuti dengan suara tangisan Mia. Suara Naim tidak pula kudengar
melainkan sebuah bunyi hentaman pada pintu dan kunci yang diputar. Aku
mematikan paip dan menekap telingaku ke dinding. Sunyi. Jahanam! Pasti itu ulah
hantuku. Dia sengaja memainkan pita itu kembali dalam kepalaku sekadar untuk
mempermainkan perasaanku.
Aku membuka paip kembali.
Suara itu datang lagi. Aku cuba
mengusirnya pergi hinggalah tiba-tiba pintu kamar mandiku diketuk bertalu-talu.
Kudengar suara panik ibu dari sebelah pintu.
“Lia,
buka pintu Lia. Ayahmu panggil,”
Aku
terpempan. Ada rasa dingin merasuki ulu hatiku. Ketakutan yang bukan kepalang
membuatkan aku segera menyambar tuala mandi dan menyelimuti tubuhku yang
telanjang.
Ketukan itu terus bergema.
“Lia!
Cepat Lia!” aku menggigil ketakutan. Aku membayangkan ayah sedang menantiku
di bilik dengan tubuh kekar dan wajahnya yang garang. Aku terus diam di bilik
mandi hinggalah kudengar ketukan ibu berganti dengan suara hentakan dan gaduh
yang kuat. Ibu pasti sedang dipukul ayah kerana gagal membawa aku keluar
menghadapnya. Tidak sanggup ibu menjadi sasaran kemarahan ayah, aku mencapai
tombol pintu dan memutarnya perlahan.
Sepi. Tidak ada sesiapa di sana.
Tidak ketukan. Tidak ibu. Tidak juga ayah.
Kudengar hantuku bersorak girang
sambil bertepuk tangan. Aku menyumpah sendiri dalam hati dengan permainan
fatamorgananya yang berjaya melalaikan aku.
Bersama istighfar yang panjang aku
keluar dari kamar mandi. Pintu bilikku sedikit terbuka hingga sekali lagi aku melihat
ibu berjalan di luar bilik. Tepat di tengah pintu, dia membalikkan badannya dan
merenung tajam ke arahku. Kudengar hantuku mengeluarkan sumpah seranah yang
menjengkelkan. Tiba-tiba ibu menukar arah matanya dan melirik ke samping, ke
bilik tidur Mia. Matanya memain peranan dalam menyampaikan sebuah cerita
gempar. Aku tertegun seketika.
Aku
berlari menuju ke bilik Mia. Pintu bilik Mia tertutup rapat. Tidak biasanya
anak kecil itu menutup pintunya. Kamar tidurnya hanyalah tempat perlonggokan
barang peribadinya. Hakikatnya, Mia masih tidur seranjang dengan kami. Cahaya
samar memancar keluar dari bawah pintu. Ada tangisan lirih di dalamnya.
Tangisan Mia! Ia seperti erangan yang panjang yang menyedihkan. Tanganku
mencapai tombol pintu dan menendangnya sekuat hatiku.
Suamiku Naim sedang bertiarap di
ranjang dengan selimut yang menangkup seluruh badannya. Aku tidak melihat Mia
tapi mataku dapat menangkap gumpalan kembung di bawah badannya yang juga
ditutupi selimut. Bunyi erangan itu membuktikan bahawa andaianku benar. Aku
berteriak sekuat hatiku.
Naim yang terkejut mendengar
jeritanku, bingkas membalikkan badannya. Tanpa menunggunya bangkit dari katil,
aku mencapai lampu tidur yang terletak di atas meja hias. Aku menghempaskan
lampu itu dengan sepenuh tenagaku ke badannya. Naim cuba melawan namun aku
cukup ampuh untuk menghancurkannya seorang. Kuhempaskan lampu itu berulang kali.
Terdengar bunyi suara besi beradu tulang. Suamiku terus memekik kesakitan.
Suaranya bercampur dengan suara-suara di kepalaku.
-Aku sakit tahu, tak? Bisa tusukanmu menembus masuk sampai ke
jantungku yang kecil sempit dan kering...
-Lia! Apa yang kau
lakukan? Kau gila? Kau bunuh ayahmu!
-Ampun, Lia! Tolong
ayah, Lia...
-Tidakkah kau tahu itu,
ayahku? Sekarang kau rasakan tusukan belatiku.
Sakitkan? Itulah sakit yang aku rasai
bertahun lamanya.
“Lia!
Berhenti Lia!”
“Lia?
Kenapa ni?”
“Mama...!!!”
suara terakhir itu memegunkan ayunan tanganku. Lampu tidurku terapung di udara.
Terketar-ketar aku menoleh ke belakang, mengikut suara itu.
Naim
berdiri di muka pintu sambil menggendong Mia di tangannya. Ibu berdiri di belakang
mereka. Ketiganya terbelalak kaget memandangku. Aku terkaku dengan mulut
ternganga. Kulirik katil Mia. Ternyata kosong. Tidak ada apa-apa di sana
kecuali lampu tidur yang hancur berderai.
Di
kepalaku, kudengar sorakan gempita hantuku yang meraikan kemenangannya.
Comments
Post a Comment