Puteri Alam Zara

 Puteri Alam Zara
“Hey, dilarang mengambil gambar di sini!” jeritku marah. Ketenanganku terusik. Lampu flash kamera berwarna putih terang menyilaukan mataku. Seorang jurugambar lelaki berpakaian t-shirt biru memacukan lensa kameranya ke arah bunga yang sedang kuhidu. Aku cuba mengamati wajahnya. Namun, kamera digital yang sedang dipegangnya menghalang pandangan mataku. Bukankah ini adalah kawasan larangan?  Papan tanda amaran pun sudah diletakkan di hujung pagar. Pihak pengurus resort telah berjanji untuk menyitakan ruangan ini sebagai tempat bermainku sejak pusat pelancongan ini mula dihidupkan dulu.

            Merasa puas dengan hasil bidikannya, sang jurugambar melepaskan kameranya. Wajahnya masih tidak dapat kulihat jelas kerana dia sedang tunduk melihat hasil ketikannya pada screen view. Aku berdoa agar lelaki itu tidak tertangkap gambarku. Kepesatan teknologi kamera digital kini mampu menembusi dunia tiga dimensi yang hidup di sebalik lapisan hologram. Kami sudah sering diberi amaran mengenainya.
Dari balik pohon bunga, aku mulai menghitung. Sedetik, dua detik,
            “Subhanallah!”
Si jurugambar berdesis kaget. Matanya terpaku di atas skrin kameranya. Oh, pastilah dia sudah tertangkap imejku. Entah seperti apa rupaku terpampang di dalam sana.
Sudah kubilang, jangan sembarangan mengambil gambar di sini.
Tanpa berfikir dua kali, dia segera menutup lensa kameranya. Dia membungkukkan badannya sedikit ke arahku sementara matanya lurus menatap tanah. Bibirnya berbisik sesuatu dengan suara berketar. Benarkah telingaku menangkap perkataan ‘maaf’?  Lalu dia pun membalikkan badannya dan berlalu pergi.
Hurmm...orangnya tahu adab juga, fikirku.   
Sudah pasti selepas ini wajahku jadi viral di dunia maya.
*                      *                      *
Dunia in terbahagi kepada dua bahagian; iaitu lapis atas dan lapis bawah. Kedua lapis ini, punya fungsi tersendiri. Masing-masing berjalan dengan sistem yang tak terjangkau oleh akalmu. Ia termasuk dalam rahsia alam yang terpecahkan.
Bintang-bintang, sarwa jagat dan cakerawala, rahsia takdir dan kesenyapan berhuni di lapis atas. Ia ditadbir oleh kerajaan langit. Lapisan itu pula tumbuh selapis demi selapis, sesuai mengikut aturan sang Pencipta.
Demikian juga halnya di lapis bawah. Dunia di bawah sini juga tumbuh berlapis-lapis. Setiap lapis punya kehidupannya sendiri. Ada makhluk lengkap berjasad dan punya roh bernama manusia,  ada roh tak berjasad berkeliaran tanpa hala, dan ada berwujud seperti ruh, berjasad seperti manusia tapi tak terlihat. Ketiga-tiga kehidupan ini  tumbuh sendiri-sendiri dan berjalan dalam ruang waktu yang khusus.  Setiap lapisan ini dipisahkan oleh dinding berkabut, tipis dan berbentuk hologram. Itulah yang digelar dunia tiga dimensi.
Dan kami, adalah satu salah satu makhluk yang hidup dalam dunia tiga dimensi itu yang berwujud seperti ruh, berjasad seperti manusia tapi tak terlihat. 
Kehidupan di dunia kami, sama juga seperti di dunia maujud. Kami hidup bersuku-suku dan berbangsa-bangsa. Setiap suku pula punya peran, tugas dan takdirnya sendiri. Setiap satunya punya kelebihan dan kelemahan. Bangsa kami ditugaskan untuk menjadi penyeimbang alam, pemelihara kesemulajadian dan pemulihara kelestarian. Tanpa kami, bumi ini sudah lama menjadi gersang akibat halobanya manusia membina kemodenan.  
            Dan aku, ya, aku dan keturunanku, adalah penghuni tetap di alam yang kita kongsi bersama ini. Taman hutan simpan di kaki gunung yang kau cintai ini, adalah juga taman kami. Kami membina peradaban dan ketamadunan sejak beribu tahun yang lampau. Kami melahirkan keturunan di sini, membina kerajaan dan mentadbir segala urusan yang tidak mampu manusia lakukan.
    Meski terpisah oleh lapisan selembut hologram, namun itu tidak bermakna kita tidak akan saling bertemu.  Peraturan alam punya pantang larangnya sendiri. Hijab yang bertirai di mata majazimu akan terkuak andai pantang itu tidak kau patuhi. Demikian juga dengan kami. Walaupun kami bisa menembus duniamu setiap detik, tapi kami juga diikat dengan peraturan dan sumpah sendiri.
*                      *                      *
Pagi yang dingin dan berkabut. Pori-pori tanah terbuka menyerap titisan air embun.  Kabus pun tersibak menimpakan ruas cahaya mentari yang malu-malu. Rerumput hijau membentang bagai hamparan permaidani.   Pepohon besar melengkung bagai kubah.  Akar dan banir saling membelit, menjalin kasihnya. Janggut-janggut pohon berjuntai bagai tirai sutera. Bunga-bunga hutan berwarna ungu-jingga angkuh mendongak ke langit. Tasik hijau menghampar tenang, dihiasi bunga teratai berwarna merah jambu. Bunyi deru air terjun membisikkan senandung yang paling sempurna.
Ah, alangkah indahnya dunia di sekelilingku. Biar seribu tahun lagipun, aku tidak akan jemu memandangnya.
Aku berdiri memaku di atas beranda istana yang ampuh tak tergoyahkan oleh masa. Ku tajamkan mataku menembusi dunia nyata di hadapanku. Resort milik pengusaha tempatan itu kelihatan masih tenang. Pagi masih terlalu dara untuk dimulakan manusia. Nun di sana, taman mawarku melambai penuh cinta. Wangi kelopaknya demikian menggoda, menggamit rasa ingin yang tak tertahankan.
Segera aku menuruni anak tangga cengal dan berjalan menuju ke pintu dimensi. Di sini, hanya ada dua pintu khusus. Satu untuk keluar dan satu untuk masuk. Pintu keluar terletak di tepi air terjun di sebelah barat sementara pintu masuk terletak di sebelah timur. Kau takkan dapat masuk dari pintu keluar dan begitu juga sebaliknya.
 Kabus putih pucat mengiring langkahku saat aku melangkah. Kabus itulah yang menggerakkan kami berjalan. Kalau matamu awas, kau akan menyedari kehadiran kami bila melihat kabus itu.
Begitu pintu tiga dimensi terkuak, aku menjulurkan sebelah kakiku. Belum pun habis seluruh tubuhku keluar dari pintu,  aku merasa seperti terbentur sesuatu.
Manusia.
Seorang lelaki di alam nyata kebetulan berdiri di depan pintu. Dia sama sekali tidak menyedari kehadiranku. Di lehernya tergantung sebuah kamera  hitam dan besar. Ah, jurugambar lagi. Aku benci jurugambar yang membawa kamera sebesar itu. Mereka lebih dari sekadar yang namanya biadap, tapi juga sangat ceroboh dan mementingkan diri. Mereka hanya peduli pada subjek yang meransang visual mereka. Mereka gopoh dan tidak peduli kalau harus merosakkan alam sekalipun. 
Lelaki itu berjalan melewati aku. Pintu masih terbuka kerana tubuhku masih separuh di luar dan separuh lagi di dalam. Dia hampir saja memasukinya kalau saja aku tidak buru-buru menolaknya keluar.
Dia terjatuh. Kudengar bunyi tulang punggungnya beradu dengan tanah yang keras dan padu. Sebuah jeritan kecil keluar dari mulutnya. Wajahnya menyeringai kesakitan. Sikunya melecet. Penuh kehairanan, dia melemparkan pandangannya mencari punca kemalangan yang menimpanya.
Dia pun bingkas bangun. Perlahan, dia menyapu segala kotoran daun kering dan tanah lembap yang mencemari pakaiannya. Begitu merasa tubuhnya bersih, dia menundukkan kepalanya sedikit ke depan.
“Maaf,” katanya lalu bergerak meninggalkan ruangan.
Aku tertegun. Adakah dia lelaki yang sama kelmarin petang? Kenapa dia berulang kali memohon maaf? Adakah dia melihatku? Ataukah sekadar merasa kehadiranku? Sesetengah manusia dianugerahkan indera keenam untuk merasai kewujudan spiritual. Itulah manusia beraura indigo.
Dari jauh, kudengar mulutnya terkumat-kamit membaca ayat kursi.
Aku tersenyum kecil. Maaf, aku bukan syaitan.  
*                      *                      *
Pagi itu aku mendapati taman kami, atau hutan simpan bagi kalian, dibanjiri lebih ramai jurugambar dari hari-hari sebelumnya. Bagai askar yang ingin berperang, mereka semua lengkap datang bersenjatakan lensa pelbagai saiz, lampu strobo dan pembalik cahaya. Kamera dibidik ke sana ke sini menimbulkan cahaya lampu kilat di mana-mana. Keadaan itu memberi rasa yang kurang selesa bagi kami.
Ayahandaku, Raja Bentara Alam, memberi peringatan agar kami tidak mendekati kerumunan  jurugambar. Ada penggambaran foto model di air terjun, katanya. Amaran ayahanda jesteru mengundang rasa ingin tahu di hatiku. Akhirnya, bersama Nur, sang adik kesayanganku, kami berkejar ke lokasi penggambaran.
Sebenarnya, agak sukar bagiku untuk mendidik jiwaku agar menjadi sekudus bangsa kami. Aku dan Nur adalah hasil penyatuan ayahanda dengan makhluk berjasad melalui sebuah pernikahan misteri. Sebahagian dari diri kami masih bernafsu seperti manusia. Ia sering menimbulkan konflik personaliti yang bercelaru. Kadang terasa seakan mengkhianati kemuliaan bangsa kami sendiri. Tapi itulah risiko dan cabaran yang terpaksa digalang oleh makhluk-makhluk sepertiku dan Nur.
Seramai dua puluh orang jurugambar sedang mengelilingi seorang model yang sedang memperaga pakaiannya. Model itu berdiri di tepi sebuah batu besar di kaki sungai, berlatar belakangkan air terjun. Busananya berwarna putih, tipis dan menyerlahkan hampir seluruh tubuhnya. Beberapa buah ranting dipatahkan dan disusun di sekitarnya. Seorang lelaki separuh usia, mengarahkannya untuk membuat aksi-aksi tertentu. Sesekali, dia mengajari beberapa jurugambar yang berada di dekatnya.
Hatiku menjadi rawan saat melihat potongan-potongan ranting yang dipatah, puntung-puntung rokok serta botol-botol mineral bergelimpangan di atas tanah. Beginilah manusia.  Rakus dan mementingkan diri. Mereka suka bermegah, suka menunjuk dan menjadi pemenang. Atas nama pencinta estetika, mereka menghidupkan visual sempurna di alam digital. Tapi malangnya, mereka merosakkan estetika semulajadi hanya untuk sampai ke arah itu.
Aku kemudiannya menyedari salah seorang dari jurugambar itu adalah lelaki yang kutemui pagi tadi. Lelaki itu tertinggal jauh kebelakang dalam  kerumunan jurugambar yang lebih senior darinya. Lensanya pendek, tidak panjang seperti jurugambar yang lain. Setiap kali dia ke depan untuk membidik kameranya, setiap kali itu juga dia ditunjal ke belakang. Berkali-kali dia mencuba namun nasibnya tetap sama.
Tiba-tiba aku menjadi hiba melihatnya.  Mengamatinya dari jauh, baru aku menyedari kalau lelaki itu tampan orangnya. Kulitnya putih pucat, tubuhnya kekar dan tinggi. Matanya lembut, memancar rasa ingin belajar dan ketidakputusaan.
Nur mencubit lenganku.
 “Kenapa kau lihat lelaki itu dari tadi? Kau kenal dia?”
Aku menggeleng. “Aku kasihan melihatnya. Jurugambar lain tidak memberinya peluang untuk ke depan,”
“Mungkin dia jurugambar baru,” kata Nur haru. Itulah kelemahan kami, mudah merasa hiba.
Kami berdua menatap si lelaki. Ah, apa ya bagus kupanggil namanya? Membahasakannya lelaki buat hatiku cuak. Sekurang-kurangnya dia harus punya nama. Baiklah. Kunamakannya Aria saja. 
“Kau mahu membantunya?” tanya Nur. Matanya mulai bersinar nakal.
“Bagaimana?”
“Kau bisikkanlah dia ilham, biar yang lain aku uruskan,”
Entah kenapa aku menyetujui cadangan Nur. Adikku ini, memang sedikit nakal. Peratus naluri manusianya jauh lebih banyak dariku. Mungkin kerana dia tinggal lebih lama dalam kandungan bonda sebelum ayahanda membawanya ke dunia kami.
Kami pun melangkah mendekati kerumunan. Haba hangat dari tubuh manusia bercampur bau keringat yang busuk, menyesakkan lubang hidungku. 
“Hati-hati, jangan sampai kita ditimpa cahaya kilat kamera,” bisik Nur seolah bahasa kami dapat didengar oleh manusia. Aku mengangguk.
Nur memberi isyarat agar aku maju ke samping Aria sementara dia mengurusi jurugambar yang berada di barisan hadapan. Aku tidak tahu apa rencananya. Berdiri di sisi Aria, entah kenapa jantungku berdetak kencang. Lelaki itu, baunya wangi sekali. Aura tubuhnya memancar cahaya biru nila yang berselang dengan warna kuning. Nafasnya tidak sebusuk manusia yang pernah kutemui. Dahinya terlukis tanda iman. Wajahnya tenang memancarkan lukisan hatinya. Telinganya terbentuk indah, tidak meruncing sedikit di hujung sepertiku. Lekuk calitan Azazil membentuk bibirnya yang menawan. Dia benar-benar mempesonakan.
Tiba-tiba Aria menolehkan kepalanya ke arahku. Seketika, mata kami bertentang. Jantungku seakan ingin keluar  dari tangkainya. Adakah dia melihatku? Aku menggerakkan kepalaku sedikit ke samping. Mata Aria ternyata masih terpaku di tempat yang sama. Aku menghela nafas lega. Oh, syukurlah dia hanya sekadar merasai kehadiranku. Kuakui, sememang dia punya kemampuan spritual.
Kudengar Nur memanggilku. Ketika kumenoleh, para jurugambar senior mula kepenatan. Keringat berkucuran dari dahi dan kepala. Baju mereka basah semuanya. Ada yang mulai mengipas badan menggunakan tangan. Akhirnya, satu persatu mengalah dan duduk di tepi bantuan. Aku tersenyum lucu. Entah apa yang telah dilakukan Nur pada mereka.
Melihat keadaan itu, Aria segera maju kehadapan. Dia membidik lensa kameranya pada model yang terkulat-kulat kehairanan kerana ditinggalkan oleh jurugambar begitu sahaja. Si model juga tiba-tiba kehilangan moodnya. Nur segera memainkan peranan lagi. Dia membisikkan sesuatu di telinga si model. Aku pula segera memberikan ilham agar Aria berani bertindak.
Bagai disengat sebuah keberanian, Aria tiba-tiba bersuara.
“Kristy! Lihat ke sini,” 
Segalanya berlaku demikian cepat. Aria mulai memainkan peranannya  sementara model itu, Kristy, beraksi cemerlang dengan tugasnya. Para senior di bawah pohon hanya menonton kelemasan.
   *                   *                      *
Di luar jangkaanku sama sekali, Aria menyudahkan kerjanya lebih cepat. Kukira dia akan memanfaatkan keadaan itu sebanyak-banyaknya.
 Kristy sekali lagi dibelut kehairanan.
“Cukup?” tanya Kristy.
Aria mengangguk. “Cukup. Terima kasih, Kristy,”
“Boleh kulihat foto-fotonya?” Kristy mendekat ke arah Aria yang sedang memerhati hasilanya pada paparan skrin. Tubuhnya demikian hampir dengan tubuh Aria. Barangkali merasa janggal, Aria segera melepaskan kameranya dan memberikannya pada Kristy. Dia menekan satu punat di sebelah kanan untuk membolehkan gambar itu bergerak.
“Kenapa wajahku saja yang kau gambar? Kenapa tak keseluruhan landskap?” tanya Kristy kehairanan.
Aria tersenyum sopan, tanpa kata.
“Bidangmu potret?”
Aria mengangguk kecil. 
Didesak rasa ingin tahu, aku mencelah di tengah mereka. Baru kusedari kalau Aria hanya memotret wajah Kristy sahaja, sampai ke bahu. Keseluruhan tubuh Kristy yang hampir telanjang serta aksi-aksi panas yang dipamer Kristy tadi terbiar begitu saja. Tidak ada satupun yang benar-benar dirakamnya dengan sempurna.
Dia sedang menjaga mata dan nafsunya, fikirku kagum.
   *                   *                      *
 Nur mengajakku pulang meski acara penggambaran belum selesai. Si Kristy masih punya dua baju untuk dikenakan. Kami tidak mungkin berada lama di situ. Sebentar lagi, pasti ayahanda menyedari kehilangan kami. Paling tidak pun, anak-anak buah ayahanda akan menemukan kami di sini. Kami pasti akan dimarahi kerana mencampuri urusan manusia.  
Enggan sebenarnya aku meninggalkan Aria. Entah apa yang mengikat hatiku padanya. Lelaki itu sudah berjaya mencuri seluruh perhatianku. Alangkah berdosanya memiliki perasaan ini. Kalau ayahanda tahu, pasti dia akan murka.
Aku membungkam diriku di dalam kamar sebaik saja kami sampai di rumah. Wajah Aria berkali-kali datang mendera saatku pejamkan mata. Baunya ada di mana-mana. Mungkin darah bonda yang mengalir dalam tubuhku membersit rasa cinta pada manusia. Ya, Allah. Cintakah ini? Ayahanda berkali-kali memberi amaran agar kami tidak jatuh cinta pada manusia. Dia khuatir kalau kami bakal mengulang takdirnya. Takdir yang kemudiannya memisahkan kami dua beradik dengan ibu kandung kami sendiri; yang wajahnya pun tak kami kenali sampai kini. 
   *                   *                      *
Pagi pun muncul lagi dengan keindahan yang sama seperti selalu. Malangnya, jiwaku hari ini tidaklah seindah kelmarin. Aku terperangkap dalam konfrontasi jiwaku yang keliru. Alangkah ironisnya suatu pertemuan dapat memusnahkan kesejatian bahagia yang kupelihara seumur hidupku.
Tanpa Nur, aku menuju ke taman mawarku. Ada niat yang mencurangi pekertiku hari ini. Aku berharap dapat bertemu dengan Aria. Itu pun, kalau dia masih menjadi penghuni resort. Tapi bayang Aria tidak muncul di mana-mana. Baunya pun tidak dapat kukesan. Perlukah aku masuk ke bangunan resort dan mencarinya di situ? Jangan gila, bantah hatiku. Tapi apa salahnya? Buat kali terakhir. Biasanya penghuni resort bertahan hingga tengahari.
Selang beberapa lama, hidungku disentap bau itu. Bau yang baru aku kenali tapi sangat dekat di hati. Aku menoleh ke samping kanan dan kiri mencari tuan empunya bau. Nun di hujung pagar, kulihat Aria sedang berjalan masuk menuju ke hutan. Langkahnya terburu-buru, seolah-olah dia sedang mengejar seseorang, ataukah sesuatu? Dia tidak membawa kameranya bersama. Saat melewati tempatku, kepalanya lurus ke depan.
Apa yang dikejarnya?
Diburu rasa ingin tahu, aku menyusulinya. Namun, alangkah terperanjatnya bila aku dapati bayangnya mendadak hilang. Kemana dia? Mengapa demikian cepatnya dia menghilang? Aku menebarkan pandanganku. Aku masih dapat menghidu baunya yang wangi. Dia masih di sini, itu pasti.
Aku pun memejamkan mataku. Mindaku bermain peran menerawang meraga  sukmanya. Nun di hujung rumpun bambu, aku melihat dia sudah berada di alamku. Ya, Allah! Dia menemukan portal dimensi itu! Tidak biasanya manusia berjaya menembusinya meskipun beratus dari mereka melalui jalan ini dalam sehari.
Buru-buru aku mengejarnya masuk ke alamku. Aria sedang kebingungan melihat dunia di sekelilingnya yang mendadak bertukar wajah. Kalau tadinya kawasan itu hanyalah hutan, kini sudah menjadi hamparan padang seluas mata memandang.
Adakah dia menyedari kalau dia sudah tersesat di alam yang tak sepatutnya dia teroka?
Aku bersembunyi di balik rumpun bambu. Aria terus berlegar-legar tanpa arah. Perlukah kubantu? Itu bermakna, aku akan melanggar pantang. Tapi tidak mungkin kubiar dia terus sesat di sini mencari jalan pulang. Walaubagaimanapun, seseorang perlu menuntunnya sebelum dia ditemukan oleh makhluk lain di lapis yang lain.
Aria kemudiannya bergerak menuju ke arahku. Jantungku mulai lagi memainkan gesekan yang gundah. Adakah dia menyedari kehadiranku seperti selalu? Atau dia hanya mencari kunci kesesatannya dengan menjejaki kembali langkahnya yang terakhir? Seketika, langkahnya terhenti. Matanya yang lembut menyepet cermat. Telinganya ditajamkan seolah-olah dia sedang mendengar sesuatu. Jantungku makin berirama sumbang. Adakah dia mendengar bunyi tapak kakiku? Atau nafasku?
Tiba-tiba dia membuka matanya dan menoleh kearahku.
Waktu pun mencurangi nasibku. Ataukah nasibnya? Matanya yang lembut bertaut dengan mataku yang masih separuh bersembunyi di balik rumpun bambu. Kami sama-sama dipaku pesona. Lama. Tak terhitung detik dan masanya. Dunia bagai pegun dan terhenti. Demikian juga dengan nafasku. Mata itu. Belum pernah satu makhluk pun di bangsaku pernah melihatku seperti itu.
Entah siapa yang sedar dulu antara kami. Saat kewarasan sudah terkendali, kudengar suaranya berdesis;
 “Puteri... kau benar-benar wujud!”
Apakah maksud soalan itu?
Bagai mendengar bisikan hatiku, dia menyahut;
 “Aku...aku melihatmu di gambar...hari itu...di taman...kau ingat?”
Aku tertegun. Jadi benarlah, dia berhasil menangkap gambarku. Seperti apakah rupaku dalam foto itu?
Dia melangkah merapati aku.
“Jangan mendekat,” keras aku membentak. Kumasukkan separuh lagi tubuhku ke celah rumpunan bambu. Duhai, tidak takutkah dia berhadapan dengan situasi ini?
Langkahnya segera terhenti, “Maaf,”
“...dan jangan lihat aku. Toleh ke sana,”
Segera dia membalikkan badannya membelakangi aku. Kami pun senyap. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Ini adalah pertama kali aku berhubung secara langsung dengan makhluk bernama manusia. Ada rasa janggal yang menyiksa. Juga rasa sensasi yang tak terluahkan. Betapa aku berharap agar Nur ada di sini. Pasti dia lebih tahu bertindak jauh lebih bijak dari diriku sendiri.
“Ini bukan duniamu, kau sedarkah?”
“Ya,”
“Bagaimana kau boleh masuk ke sini?”
“Aku tak tahu. Seseorang memanggilku tadi. Kukira itu kau...”
“Hah? Apa maksudmu? Aku tidak pernah memanggilmu...” sesaat aku tertegun. Ah, jangan sampai firasatku benar. Makhluk roh berdarah api sangat suka menyamar menjadi kami dan mengelirukan manusia. 
“Jadi di mana makhluk itu sekarang?”
“Aku tak tahu. Dia hilang begitu aku masuk ke sini,”
Entah kenapa hatiku segera menghidu bau bahaya.  
“Kau harus keluar dari sini,”
“Bagaimana?”
“Aku akan membantumu. Tapi sebelum itu, kau nampak pohon senduduk putih di depan sana?”
“Ya,”
“Ambil daunnya sehelai dan selitkan di telingamu. Jangan sampai jatuh. Kalau kau takut ia terbang, ambil lagi beberapa helai dan masukkan dalam poket bajumu,”
Aria sekal lagi menuruti perintahku.
“Sekarang, pusing ke kanan dan berjalanlah terus sampai ke hujung jalan,”
“Kenapa bukan kau saja yang berjalan di depan?”
“Kerana aku tidak mahu kau melihatku?”
“Kenapa?”
Kerana aku malu tidak sesempurna kejadianmu. “Itu syaratku. Kalau kau tak setuju, kau carilah jalan keluar sendiri,”
“Bagaimana aku tahu jalan keluar kalau kau berada di belakang?”
“Aku akan memberimu arahan. Kau ikut saja arahanku,”
“Baiklah. Aku setuju,”
Perlahan, aku keluar dari persembunyianku. Aria masih berdiri membelakangiku.
Kami pun mula melangkah dalam kesenyapan. Kubiar Aria menikmati dunia di sekelilingnya. Ah, kenapa dia tenang-tenang saja? Tidakkah dia takut dengan semua ini?
 Seekor burung cenderawasih terbang melintasi kami lalu hinggap di atas kayu yang dicacak mengitari tasik. Aria terhenti seketika menatapnya.
“Ah, sayang aku tak bawa kameraku,”
“Teknologimu tidak laku di sini,”
“Oh, kenapa?”
“Tidak ada apa-apa yang dapat diambil dari sini. Tidak juga gambar,”
“Kalau aku melukisnya?”
“Kau...pandai melukis?”
“Dulu aku seorang pelukis jalanan,”
 Manusia memang mengkagumkan. Mereka dianugerahkan banyak bakat dan kemahiran serta mampu merealisasikan banyak impian.
“Kau takkan ingat apa yang kau lihat di sini,”
“Oh...kenapa?”
Sebab ayahandaku akan menarik keluar ingatan itu dari kepalamu. Aku menelan kata-kata itu sendiri. Tahukah kalian kalau bangsa kami tidak diperbolehkan berbohong? Jadi, diam lebih baik.
Kami meneruskan perjalanan.
 “Puteri...” serunya memecah hening. “Boleh aku minta sesuatu?”
“Apa?”
“Bolehkah kau bawa aku melihat-lihat duniamu? Tempat ini terlalu cantik untuk dilepaskan,”
 “Baiklah. Tapi sekejap saja,” sahutku. Seketika kemudian, aku menyesali perkataanku sendiri. Tahukah dia, semakin lama dia di sini, semakin banyak pula masanya terbuang di alam nyata. Ruang waktu dunia kita jauh berbeza.  
 Kami pun sepakat. Lalu kubawa dia menuju ke kaki gunung.
Sampai di sana, Aria bagai disengat keterujaan. Pemandangan memang sangat menakjubkan di sini. Hutan yang hijau dibaluti kabus putih tipis yang menawan. Air gunung mengalir deras dari celah bantuan dan membentuk kolam biru kehijauan di bawahnya.   Gunung ini pernah meledak belasan ribu tahun yang lampau. Kini ia tak lebih dari hanya sebuah gunung pasif yang menjadi pusat hunian flora dan flora. Pemandangan di sini hampir sama seperti apa yang kau lihat di alam nyata. Hanya saja Allah mengkhususkan beberapa estetika khusus untuk kami.
Aria seolah sudah melupakan aku yang masih setia berdiri di belakangnya. Dia sudah dipukau oleh indahnya lazuardi kolam.
 “Boleh aku tanya?” aku bersuara tiba-tiba.
“Silakan,”
“Kenapa kau begitu tenang? Tidakkah kau takut?”
Pertanyaanku membuat Aria berpaling padaku.  Pantas tanganku mencapai hujung selendang dan menutupi wajahku.
 “Hey, kau mungkir janji,”
“Oh, maaf, aku lupa,” Dia membalikkan badannya semula ke hadapan. “Perlukah kutakut?”
“Ini bukan alammu,”
“Benar. Tapi juga bukan alam kejahatan. Bangsamu tidak akan mencelakai kami,”
“Kau pasti? Tahukah kau kami sebangsa apa?”  
Dari hujung telinganya, aku melihat Aria tersenyum. Soalanku dibiar bergantung tidak terjawab.
Selepas itu, kami pun berjalan lagi. Kali ini, kami melewati pula kawasan padang rumput yang luas dengan bunga ungu muda hidup subur di atasnya. 
Tiba-tiba ada getar di hujung telingaku. Itu panggilan dari Nur.  Sayup, kudengar suara Nur berbisik cemas.
“Sari, di mana kau? Pulang sekarang. Abi mencarimu,”
“Ada apa? Kenapa suaramu cemas?”
“Aku menghidu bau manusia. Kau di resort itukah?”
“Tidak. Aku di sini. Ada manusia tersesat masuk ke alam kita,”
“Hah? Ada manusia di sini? Patutlah lapisan benteng kita terkuak. Kau harus menghantarnya pulang sekarang. Kata Abi, puak jinni sedang menuju ke sini,”
Aku tertegun. Perangkap. Ini semua perangkap. Benarlah Aria telah dikelirukan dengan penyamaran puak jinni hingga mencetus rasa ingin tahunya padaku. Jinni adalah salah satu suku dari suku jin yang suka berperang. Seumur zaman, tugasnya adalah memerangi dan memusnahkan kami.
 “Sari...?”
“Ya, Nur. Aku dengar,”
“Sari...mereka semakin dekat. Abi akan melepaskan soldadunya. Perang akan berlaku. Lebih baik kau pulang sekarang,”
“Jadi bagaimana dengan Aria?”
“Siapa Aria?’
“Ma...manusia itu,”
“Namanya Aria? Kau bercakap dengannya? Sempat bertanya namanya? Bukankah itu melanggar pantang, Sari?
Pantang. Itulah padahnya melanggar pantang. Kehadiran manusia di sini melupuskan suci alam kami. Seteguh apapun benteng halangan yang kami bina akan musnah dengan kehadiran manusia.
Aku memejamkan mataku. Sulit menerangkan segala satunya pada Nur dalam masa cemas sekarang ini.
“Kuharap kau tidak menyentuhnya. Biarkan soldadu ayahanda yang mengurusnya. Mereka akan menemuinya nanti dan menyelamatkannya. Itu bukan tugasmu. Kau pulang sekarang, Sari. Sekarang juga!”
Suara Nur pun ghaib. Sekejap hatiku ragu. Tidak sampai hatiku meninggalkan Aria di sini. Lagipula, jarak untuk kami menuju ke pintu keluar hanya tinggal seratus meter di hadapan.     
Tiba-tiba seberkas angin lintang menderu dari udara menampar kencang wajah kami. Angin itu kemudiannya berputar di tengah ladang membersitkan bunyi siul yang panjang. Bunyi itu adalah bunyi yang amat kami geruni selama ribuan tahun ini. Serentak itu, lapisan kabut yang menutupi lelangit kami terkuak sedikit membentuk bulatan kecil berpusar. Lelangit itu sedang dilubangi! Akukah penyebab kepada kekacauan ini? Bukan salahku! Dia yang sesat sendiri!
Aku dan Aria tertegun menatap lelangit.
“Puteri, bunyi apa itu?’
“Tentera Masfir,”
“Tentera Masfir?”
Tentera Masfir adalah nama bagi hulubalang kaum jinni. Tapi aku tidak ada masa menerangkan. “Kau harus segera pergi dari sini,”
“Aku dalam bahayakah?”
Liang pusar semakin membesar. Terdengar bunyi hiruk pikuk dari dalam lubang. Aku harus segera mengabarkan hal ini pada ayahanda. Aku menekan telinga kananku ke dalam.  
“Abi! Tentera Masfir sedang membocorkan lelangit,”
“Abi tahu. Kau pulang sekarang sebelum mereka masuk ke sini,”
“Ada manusia bersamaku,”
“Lupakan saja manusia itu. Kami akan mengurusnya,”
Suara ayahanda hilang.
Aku keliru. Aku memaklumi kekhuatiran ayahanda. Seumur hidup, dia sudah menggadaikan nyawanya untuk menyelamat dan melindungi kaum kami. Dan tentu saja, melindungiku! Kerana aku adalah puteri alam ini. Alam Zara yang tak kasat mata.  
Bunyi hiruk pikuk semakin gempita. Aria masih tercegat berdiri memandang lelangit dengan wajah takjub. Lubang semakin besar.  Percikan bola api dan kilat bercampur aduk di dalamnya.
Ah, tidak mungkin aku membiarkan Aria sendirian di sini. Kalau Tentera Masfir mendapatkannya, jasadnya akan dijadikan hamba tawanan dan rohnya akan dipegang untuk selama-lamanya. Kalau tentera ayahku mendapatkannya, dia akan kehilangan lebih dari separuh kewarasannya.  
Sayup, kudengar bunyi derap tapak kaki kuda dari arah belakang. Itu pasti soldadu ayahanda. Perang benar-benar  akan meletus sebentar lagi. Aku harus memilih.
“Aria...”  desisku perlahan.  
“Ya?”
“Kau lihat banir pokok itu?” aku menuding jariku ke hujung semak. Aria mengangguk. “Kita harus ke sana kerana di situlah letaknya pintu keluar,”
“Itu masih jauh, Puteri,”
“Ya.  Pegang tanganku,”
Begitu tangan kami bertaut, aku merasakan satu renjatan kuasa voltan elektrik yang bukan kepalang menjalari tapak tanganku. Renjatan itu menghantar gelombang arusnya terus sampai ke otakku. Arus itu kemudiannya menghasilkan partikel-partikel halus yang kemudiannya membentuk visual-visual yang saling bertindih. Kilatan-kilatan cahaya muncul setiap kali visual itu bertukar. Ada suara yang berlapis, ada dialog yang tak habis diucap, ada jeritan yang nyalang. Visual terus memainkan kronologi kehidupan Aria sejak dia dilahirkan. Sebuah bebola putih kecil berupa api sentiasa mengikutinya sepanjang zaman kanak-kanaknya. Cahaya itu kemudiannya hilang begitu dia menginjak remaja. Aku kenal benar bebola putih itu. Ia demikian dekat dengan kehidupan kami. Tubuhku mulai kejang. Aku cuba membuka mataku agar segala visual itu dapat kulenyapkan serta-merta.
“Puteri...?”
 Aku membuka mataku. Aria menatapku hairan.
Ya, Allah. Benarkah apa yang kulihat tadi? Lelaki ini, lelehurnya juga berasal dari alam Zara! Patutlah dia begitu tenang menghadapi situasi ini. Dia juga adalah hasil penyatuan dua alam sepertiku. Beruntungnya, dia lahir menjadi manusia bukan seperti aku dan Nur.
Tapi sungguh, tidak ada masa untuk membahaskan semua itu. Nun di lelangit sana, pusar semakin melebar. Nun di sebelah padang sana pula, tentera berkuda pula semakin hampir. 
Aku menggenggam tangan Aria dan mengaktifkan kemampuanku untuk bergerak selaju kilat. Tubuh kami meluncur naik ke udara mengikut arah mata angin. Namun, belum pun jauh kami bergerak, tubuh kami melanggar sesuatu. Kami akhirnya terpontang-panting jatuh semula jatuh ke bumi serentak dengan turunnya tentera Masfir.
Dalam posisi terbaring di atas tanah, aku dapat melihat dengan jelas gerombolan tentera Masfir berdiri di hadapan dengan gagah dan angkuh. Tubuh mereka yang berwarna perang hanyir berbau lumpur. Tahukah kalian tentera Masfir itu apa? Merekalah yang selalu kau lihat sebagai makhluk bertubuh manusia dan berkepala kerbau. Mereka adalah pemakan bangkai dan najis. Tugasnya tidak hanya sekadar memerangi kami tapi juga menghapuskan kebaikan dan menyesatkan iman orang-orang yang salih.
Mereka tertawa keras begitu melihatku. Suara mereka parau dan tidak berlagu. Seekor makhluk mendekat. Kuanggap dia ketua tentera kerana dia berada di depan sekali. Dia memakai selendang merah dan mahkota perak di kepalanya. Matanya merenungku galak. Mulutnya menyeringai lebar menampakkan barisan giginya yang hitam dan tajam tak berasah.
“Puteri Alam Zara!” dia menyeruku di sela tawanya yang menyakitkan telingaku.  “Anak Raja Bentara Alam....” dia berhenti lagi untuk ketawa “Puteri manis idaman manusia. Apa yang kau lakukan di sini? Mana manusia itu yang telah berjaya kami sesatkan? ”
Aku tak boleh gentar. Aku pewaris kerajaan ini.
Aku membetulkan posisiku. Bila aku menoleh pada Aria, lelaki itu sedang terperangah kaget menyaksikan pemandangan luar biasa di hadapannya. Aku menyiku rusuknya, memberi isyarat agar kami berdiri.
“Ah....aku terhidu bau manusia itu....” sang ketua menarik nafas sedalam-dalamnya dari lubang hidungnya yang besar dan tak berbatang. “Baunya dekat....”
Bagai anjing yang menghidu tulang, dia menundukkan kepalanya ke sekeliling. Bermula dari kanan, lalu ke kiri. Tenteranya juga melakukan hal yang sama. Jantungku sakit bukan kepalang. Berani dan takut bergaul menjadi satu dalam mangkuk perasaanku. Dalam gerakan yang begitu hati-hati, aku menggenggam kembali tangan Aria. Selangkah, aku mundur ke belakang.
“Puteri...mereka tidak melihatku?” bisik Aria di telingaku.
Aku mengedipkan mataku satu kali. Isyarat untuk mengiyakan kata-kata Aria. Aku bersyukur kerana sempat memberinya daun senduduk tadi.
“Kenapa?”
Ah, kenapa lagi! Kenapa lagi! Tahukah kau aku tidak boleh bercakap denganmu sekarang?
Sang kerbau terus menghidu. Sebahagian mereka sudah mula menghunus senjata.
Sang ketua merapati aku. Bau hanyirnya merasuk ke hidungku. Matanya yang tajam merenungku seakan ingin melumatkanku.
“Kau bau manusia,”
Dia mendekatkan lagi hidungnya ke arahku. “Kau menyembunyikan manusia?”
Tegar dan angkuh aku membalas menatap matanya. Hatiku berlagu zikir-zikir yang sudah berdarah daging dalam jiwaku. Aria semakin menggenggam kuat tanganku. Dia takut. Aku dapat merasakan getar ketakutannya. Untungnya dia tidak panik dan masih mampu mengawal dirinya.
Sang ketua tertawa makin nyaring. “Kau menyembunyikan manusia, Puteri Zara!”
Ketawanya disambut oleh tenteranya yang hodoh dan jelek. Melengking-lengking suara itu di udara. Aku menekan telingaku.
“Abi, cepatlah datang,”
“Segera anakku, segera”
Dari hujung mata, aku melirik Aria yang juga sedang berbalik menatapku. Aku menghantar  isyarat-isyarat tanpa lisan padanya. Semoga dia memahami komunikasi bisuku yang memintanya untuk berlari sendiri ke banir pohon di hujung sana. Sementara aku, akan mengalihkan perhatian mereka di sini. Aria mengerti bacaan hatiku.
“Tidak, Puteri. Aku tidak akan meninggalkanmu di sini,”
“Jangan risaukan aku. Tentera kami akan segera datang,”
Aria tetap menggelengkan kepalanya.
Aku mengeluh. Ah, dasar manusia kepala batu.
Tangan sang ketua maju mahu menggapai selendangku. Aku menahan nafasku lalu menghembuskannya dengan kuat. Itu adalah metafora pada senjata tak terlihat. Sesuatu yang kalian namakan jurus di alam nyata. Tangan sang ketua kaku di atas angin. Wajahnya membelalak ngeri. Dia mencubanya lagi. Ketika masih tidak berjaya, dia tersenyum mula mencabarku.
“Sekuat apa kau, Puteri?”
Sang ketua memanggil anak-anak buahnya mengerumuni kami dalam bentuk bulatan. Kami kini terperangkap di tengah-tengah. Mereka benar-benar bersedia menyerang kami.
“Manusia itu tidak berharga buat kami, Puteri. Kau boleh sembunyikannya kalau kau mahu. Tapi kau....lebih berharga dari segalanya. Aku sudah lama menunggumu semenjak kau diambil dari kandungan ibumu. Malangnya, benteng-benteng ini menghalang kami. Ayahmu sudah cukup melindungimu. Tapi kau...kau sendiri yang melanggar peraturan alam. Kau terpikat padanya dan kau juga menyentuh dia hinggakan benteng-benteng ini terbuka untuk kami,”
“Dan tahukah kau manusia yang kau sentuh itu siapa, Puteri? Dia juga berasal  dari keturunan sepertimu. Aku dapat menghidu dari baunya. Lucunya, dia juga sudah tertawan denganmu sejak di taman itu. Dan akulah yang telah membukakan jalan untuknya ke sini kerana niatnya yang ingin mencarimu...”
Aku dan Aria sama-sama terperangah. Dasar jin kafir. Demikian mudahnya mereka memanfaatkan keadaan yang ada.  
“...dan kau, Puteri. Darah manusiamu...membuat nafsumu bergejolak hingga kau merasa suka padanya bila dia sini dan kemudiannya kau pun melanggar aturan alam...”
Aku serasa ingin menangis. Malu dan sakit hati. Tapi aku terlalu angkuh untuk ditundukkan oleh bangsa keparat seperti mereka. Aria menggenggam tanganku dan menyintaknya kuat.
“Jangan dengarkan dia, Puteri. Dia hanya mahu menyesatkan kita,”
“Sari...ayahanda datang...!”
Kudengar suara tentera berkuda ayah semakin dekat menghampiri. Sebusur panah meluncur dari depanku mengenai tepat di tulang tengkorak sang ketua. Panah itu tidak membuatnya cedera namun berjaya membuatnya mengalihkan tumpuannya dariku.
Dia menyeringai begitu melihat gerombolan tentera zara yang dipimpin sendiri oleh ayahanda yang kini sudah berada di hadapan kami. Tentera Masfir menjerit-jerit sambil meletakkan jari mereka di depan mulut. Bunyi suara timbul tenggelam muncul bagai irama muzik kaum asli.
Sang ketua mendepangkan tangannya seolah menyambut kehadiran bala tentera ayahanda.
“Ah...Raja Bentara! Kau datang juga. Jangan kau salahkan aku atas kelancangan kami datang ke sini. Anakmulah yang membukakan jalan untuk kami ke sini...” 
Sedikitpun ayahanda tidak mengendahkan kata-katanya.  Dia terlalu sibuk untuk berkomunikasi denganku. Terpancar kemarahan dalam matanya. Marah seorang bapa. Sementara aku, kesal seorang anak.  Kudengar suara ayah dalam kepalaku.
“Pergi bawa manusia itu dari sini, Sari,”
“Maafkan Sari, Abi,”
“Pergi sekarang!”
Aku mengangguk. Kupandangi Aria yang turut sama memerhatikan ayahanda. Kali ini, aku pula yang menyintak tangannya. Mataku memberi isyarat.
“Bersedia?”
Aria mengangguk.
Kami pun meluncur laju ke udara menuju ke banir pohon . Di bawah sana, perang dua bangsa pun meletus.
*                                  *                                  *
Dari jauh kulihat Nur terkocoh-kocoh mendatangiku yang sedang duduk di jeti tasik.
“Ada apa, Nur?” tanyaku hairan.
“Kau harus ke resort sekarang,”
“Buat apa?”
“Lelaki itu...Ariamu. Ada di sana,”
Aria!
Nama itu sudah lama terlupakan oleh waktu. Sebersit rindu menjengah relung hatiku. Nama itu, meski hanya dicipta oleh rasa terujaku, tetap melekap teguh dalam ingatanku. Wajahnya dan kesegalaan yang telah kami lalui menjadi mainan tidurku. Semenjak peristiwa itu, dia tidak pernah lagi kutemui. Aku memilih untuk tidak mencarinya, tidak juga menjejaki bayangnya. Dia juga tidak pernah lagi datang ke sini sejak itu. Kuanggap saja dia sakit kerana semangatnya hilang. Setidaknya, begitulah yang selalunya terjadi pada manusia yang tersesat di sini.Tapi atas alasan apakah hari ini dia mengunjungi lagi hutan ini?
Melihatku diam tak bergimang, Nur melanjutkan.
“Pergilah, Sari. Kau harus melihatnya sendiri,”
“Apa yang perlu kulihat?”
“Suatu kejutan...”
“Kejutan?”
Nur mengangguk. Matanya bersinar bagai kanak-kanak kecil. “Pergilah sebelum ayahanda sendiri datang ke sana,”
“Kenapa ayahanda perlu ke sana?”
Nur membiarkan soalanku tak berjawab. Tanpa basa-basi, dia terbang sekali lagi ke resot. Ah, anak itu! Dia pintar betul memancing rasa ingin tahuku.
Aku segera mengejarnya dari belakang.
Begitu tiba di lobi resort, aku terperangah. Kaget.
Ada pameran catan di lobi. Catan-catan itu disusun berjajar memanjang memenuhi ruangan. Orang ramai datang dan mengerumuni setiap satu catan. Nur kemudiannya membiarkan aku menjelajah ruang itu sendiri. Aku berjalan menyusup di celah keramaian.
Catan itu dilukis indah menggunakan media cat minyak. Berkilau-kilau warnanya bila terkena lampu di atas siling. Apa yang menariknya adalah subjek yang dijadikan intipati lukisan. Ia adalah kronologi kisah yang dekat dengan diriku. Subjek yang hanya dapat kulihat di dalam kepalaku, kini terpamer kemas di atas kanvas. Subjek itulah yang menghantui hidupku selama bertahun-tahun ini, yang bagi dunia kalian, hanyalah berbulan-bulan.
Pada satu catan, terlukis bunga mawar dengan titisan air di kelopaknya. Di sebelahnya, ada gambar air terjun; ada jurugambar yang sesat di hutan; ada tasik yang menghampar; ada burung cenderawasih di atas pagar; ada kaki gunung yang indah dan anak senduduk: ada perang yang gila dan...aku terhenti di hujung pameran. Itu adalah catan terakhir. Ia dilukis di atas kanvas yang lebih besar dari yang lainnya. Ia adalah lukisan seorang puteri yang memakai selendang berwarna emas menutupi bahunya. Ada mahkota asli tumbuh di kepalanya. Busananya berwarna hijau tua. Puteri itu sedang duduk menghidu bunga dengan wajah yang tenang, Wajahnya mulus, jernih dan telinganya meruncing di hujung. Akukah puteri itu?
“Dulu aku seorang pelukis jalanan,”
Aku tersenyum.
Sejenak, hidungku tertangkap bau yang begitu aku rindukan. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Bau itu begitu hampir. Aku mahu menoleh sebelum aku merasa hangat haba tubuh seorang manusia yang berada begitu dekat dengan tubuhku. Aku mengenal pemilik haba itu.
“Kau datang juga, Sari,”

Dan aku mengenal pemilik suara itu!

Comments

Popular posts from this blog

Sebuah Kematian Suri

Ada Hantu Di Kepalaku