Baby Boo

Aku membuka mataku dengan keengganan yang melampau. Cahaya lampu kalimantang yang putih kekuningan menyilaukan pandangan mataku. Bunyi-bunyi suara melantang terdengar dari luar bilik. Bunyi suara itulah yang sering menjadi jam penggera membanguniku setiap subuh. Namun tidak biasanya suara itu ribut pada jam dini seperti ini. Siapalah yang memerlukan ribut saat fajar belum terbit di kaki horizon? Apalagi aku yang telah melalui sebuah kejadian malang kerana kehilangan nendaku yang tersayang tiga hari yang lalu. Musim sedihku belum berakhir. Penat mengurus jenazah dan kenduri nenek di kampung pun masih tersisa di badan.

Aku melemparkan selimutku ke kaki dan bangkit dari katil. Aku mendapati bantalku terhampar di atas lantai. Kepalaku terasa sedikit berpinar dan tengkukku sedikit lenguh. Aku paling tidak suka tidur tanpa bantal. Pasti sebentar lagi tengkukku kejang kerana aliran darah yang tidak sempurna ketika tidur.
Aku menguap mengusir kantuk. Lidahku terasa payau. Kelat di lidah itu menerbitkan rasa mual yang membuatkan aku ingin muntah. Aku melirik ke samping. Katil di sebelahku kosong. Aku lupa. Rita, teman sebilikku sudah seminggu keluar praktikal. Kalau dia ada, pasti kusuruh dia membuka pintu.  
Akhirnya, aku bangun menuju ke pintu kamar. Daun pintu kukuak. Kelihatan beberapa orang siswi dengan baju tidur dan rambut yang berserabut berkumpul di hadapan lorong dorm. Mereka saling berpelukan dengan wajah kalut dan penuh ketakutan. Tong-tong sampah bergelimpangan di atas lantai. Sampah dan tuala wanita berhamburan tidak menentu.
            “Ada apa?” tanyaku bingung.
Lima pasang mata kini sedang menatapku dengan sinar mata yang penuh ketakutan. Nancy, gadis kadazandusun yang datang dari pekan kecil di daerah Tambunan bersuara mewakili yang lainnya.
            “A....ada....Balan....Balan...masuk ke bilikmu....” jawabnya dengan suara menggigil.
            Aku terperangah. “Hah? Balan-balan?” mataku bagai terbonjol keluar. Terkejut dan ngeri. Dua gabungan perasaan yang tidak kusukai sama sekali. Aku adalah makhluk Allah yang mempunyai perasaan takut yang melampau. Ketakutan pada hantu adalah satu cara hidup yang diterapkan pada kami sejak kecil. Hantu adalah obsesi yang mengerikan. Apalagi Balan-Balan!
            “Jangan main-main Nancy,” aku memberi amaran.
Nancy menggeleng kepalanya laju-laju.
“Aku juga melihatnya, Nis. Benda tu selongkar tong sampah dan jilat modes. Lepas tu, dia kejar kami waktu keluar dari tandas,” sahut Emelda.
            Oh, baiklah. Sekarang sudah ada dua orang saksi. Jadi aku tidak punya alasan untuk menafikan ketakutan mereka. Itu menjelaskan mengapa sampah bertaburan di lantai. Lagipun, secara rasionalnya, aku tidak fikir sahabat-sahabatku ini tergamak mengada-ngadakan cerita di tengah-tengah malam begini.
            Dalam waktu tidak sampai setengah hari, kisah balan-balan itu sudah menjadi bualan hangat bagi seluruh warga fakulti. Aku dijadikan sasaran pertanyaan hanya kerana lima saksi mata melihatnya masuk ke bilikku. Tidak ada yang dapat kuceritakan kecuali mengitar semula cerita Nancy dan Emelda.
            Pelbagai teori pun muncullah. Kononnya pengamal ilmu hantu penanggal itu adalah salah seorang dari penghuni asrama. Aku rasa teori ini agak munasabah kerana secara logiknya, pintu masuk utama asrama ditutup pada jam 11 malam. Jendela setiap kamar dilindungi dengan besi. Secara rasionalnya, tidak ada jalan masuk bagi hantu ini lebih-lebih lagi ia muncul pada jam 3.00 pagi. Kecuali kalau ia bersifat lut dan boleh menembusi dinding. Kemungkinan ia adalah salah seorang daripada kami sangat tinggi. Persoalannya, siapa?  
            Petang itu mesyuarat pun berlangsung di dalam dewan asrama khusus untuk penghuni Selangan Kaca. Ia diketuai oleh Puan Nora, selaku warden asrama. Aku duduk di barisan paling hujung, sedikit menyendiri. Topik ini menimbulkan sedikit kurang selesa. Aku merasa muak mendengar nama Balan-Balan itu disebut berulang kali.  
            “Pasti orang Kota Belud,” seorang penghuni asrama tampil memberi pendapat. “Menurut sejarah, asal-usul Balan-Balan ni dari Kota Belud,”
            “Eh...kau jangan cakap sembarangan! Kau ingat semua orang Ketua Belud tu Balan-Balankah?” seorang bangun tampil membidas. Pasti dia berasal dari daerah sana, fikirku. Tuduh-menuduh pun berlangsung seakan tiada habisnya.
Puan Nora terpaksa bangun menenangkan suasana. Tanpa diminta, dia menceritakan asal-usul Balan-Balan secara ringkas. Kononnya, Balan-Balan atau Penanggalan bukanlah spesis hantu atau jin. Ia lahir dari amalan ilmu spiritual beratus tahun yang lalu. Perjanjian dengan syaitan ini akhirnya diwariskan secara turun-temurun. Mereka memakan jantung dengan cara mengorek dubur dengan lidah. Balan-Balan juga akan memakan uri orang bersalin dan menghirup darah. Pengamal ilmu ini tidak boleh mati selagi dia belum mewariskannya pada orang lain.
Tiba-tiba aku teringat arwah nenek yang meninggal setelah menjalani sebuah penderitaan yang panjang. Dokter tidak dapat membuat diagnosis yang tepat mengenai penyakit nenek. Akhirnya nenek dibawa pulang ke rumah. Abah mula mengikhtiarkan cara lain untuk menyembuhkan nenek. Cara yang lebih tradisional, lebih mistik dan lebih spiritual. Aku tidak tahu persis kerana aku jarang berkesempatan balik ke kampung. Kebetulan minggu lepas pihak IPG mengadakan cuti peritiwa sempena musim sukan. Dua hari menjaga nenek, akhirnya nenek meninggal di pangkuanku.
“ Tapi...” Puan Nora meneruskan penerangannya. “Pewaris tidak semestinya dari kalangan keturunannya sendiri. Malah, sesiapa pun boleh dijangkiti ‘virus’ ini samada melalui makanan mahupun sekadar sentuhan,”
            Puan Nora menambah lagi bahawa pendengaran Balan-balan amat sensitif. Menurut pantang-larang orang kampung, namanya juga tidak boleh disebut. Biasanya orang akan menukarnya dengan nama B kuasa dua. Sungguhpun kedengarannya lucu, namun istilah matematik itu diterimapakai oleh semua pihak. Atas idea salah seorang ahli mesyuarat, kami selepas ini bersetuju untuk memanggilnya dengan nama Baby Boo. Nama itu lebih sedap didengar,  lebih komersial dan kurang menakutkan.
            “Apa ciri-ciri Baby Boo ni, puan?” tanya seorang, entah siapa. Suara itu melantun di tengah keramaian.
Puan Nora menjelaskan kalau ciri-ciri Balan-Balan itu dapat dilihat melalui matanya. Lazimnya, anak mata pengamal ilmu ini tidak tetap pada suatu arah dan berkeliaran tidak menentu. Namun situasi ini akan berubah kalau dia sudah menetapkan sasaran mangsanya. Dia akan merenung bakal mangsanya dengan sepasang mata yan tajam. Mata putihnya juga akan bertukar ke warna merah.
Kami berpandangan sesama sendiri. Ah, kalau benar Baby Boo itu ada di antara kami sekarang ini, sudah pastilah dia tahu kalau dirinya sedang dinilai. Jadi, mudah sekali kalau dia ingin melakukan penyamaran, fikirku.
Ciri kedua menurut teori Puan Nora pula ialah, terdapat satu lingkaran berupa kalung di leher pengamal ilmu. Lingkaran ini menandakan bahawa lehernya pernah terpisah dengan bahagian badannya. Mungkin agak sukar untuk mengenalpasti leher ahli mesyuarat ketika ini kerana kebanyakan kami memakai tudung. Aku meramas leherku. Sakit. Baru aku teringat kalau semalam aku tidur tanpa memakai bantal. 
            “Apapun, ingatlah...” putus Puan Nora akhirnya. “Kalau benar Baby Boo ini berasal dari penghuni asrama, ini bermakna salah seorang daripada kita di sini adalah dia,”
Kata-kata itu disambut dengan teriakan histeria yang meledak-ledak seakan tiada hentinya. Suasana akhirnya tidak dapat dikawal lagi. Ketakutan merasuki semua penghuni, lebih-lebih saat ini, tika mentari merah sudah mulai menggantikan alam.   
            Ramai memutuskan untuk menginap di luar. Ada yang meminta dijemput keluarga, ada pula yang pergi sendiri. Aku tidak mempunyai pilihan kecuali tinggal di asrama. Rumahku terletak di daerah yang berasingan. Agak jauh ke luar bandar. Aku juga tidak berniat mahu menyusahkan abah. Abah pasti sibuk mengurus majlis kenduri arwah nenek di masjid malam ini. Aku hanya berharap supaya sang Baby Boo adalah antara mereka yang meninggalkan asrama tadi. Kemungkinan untuk itu kurasa agak besar kerana tidak mungkin dia akan tinggal di sini setelah tahu dirinya sedang diperhatikan.
            Malam pun menjelang.
Tidak ada yang membuat tugasan malam itu. Ketakutan pada hantu telah menjadikan kita manusia yang pengecut dan lalai. Masing-masing sibuk mengangkat bantal dan selimut untuk berkumpul di bilik yang lebih besar. Atas nasihat seorang ahli USRAH, kami diminta untuk berkumpul semula di dewan asrama. Ada solat hajat dan sedikit kenduri tolak bala, katanya. Jemputan itu tentu saja kami sambut baik. Bahkan, yang bukan muslim pun menerima jemputan itu.
            Aku agak terlambat datang ke majlis tersebut. Sakit di tengkukku kerana salah bantal semalam melarat sampai ke bahu. Aku menumpang tidur di bilik Nancy dan tertidur setelah makan pil pembunuh sakit. Mujurlah suara erangan Nancy mengejutkan aku.
            Aku membuka mataku perlahan. Kulihat, Nancy terbaring lesu di pembaringannya. Badannya meringkuk bagai bulan sabit dengan kepalanya yang dilipat ke lutut. Dia merintih kesakitan. Sejenak, hidungku menangkap bau aneh dari tubuhnya.
            “Nancy...Kau kenapa?” tanyaku hairan dan mula bingkas bangun dari katilku.
            “Perutku sakit...” katanya lirih.
            “Salah makan?”
Dia menggeleng lemah.
Aku menuju ke katilnya dan duduk di sebelahnya. Aku merasa haba badannya yang hangat. Aroma aneh dari tubuhnya jelas menyerbak ke dalam lubang hidungku. Nancy mengadahkan kepalanya memandangku. Wajahnya putih memucat. Dahinya terhimpun gurat-gurat kesakitan dan peluh-peluh dingin.
Melihatnya, aku menjadi panik.
“Astaga Nancy! Kau benar-benar pucat,”
“Bersiaplah Nis...Kau perlu pergi ke dewan” bisik Nancy lirih.
“Takkanlah aku nak biar kau di sini?” tanyaku sedikit degil. Lagipula, bacaan yassin dan kenduri itupun bukanlah wajib dihadiri.
“Pergilah...aku okay. Cuma senggugut”
Oh...senggugut, fikirku getir. Ia menjelaskan bau ditubuhnya.
“Nanti kalau baby boo itu datang, bagaimana?” tanyaku keanak-anakkan.
Mata Nancy terbelalak seketika. Ketakutan jelas terpancar dari kedua anak matanya yang memerah. Tiba-tiba, aku menjadi takut melihatnya.    
            Perasaanku mula berkecamuk. Aku tidak rela membiar Nancy seorang di situ. Namun, Nancy demikian bersungguh memaksaku pergi. Akhirnya, aku terpaksa juga meninggalkannya sendirian. Mungkin dia tidak memerlukan kehadiranku di sisinya. Atau mungkinkah dialah sebenarnya...aku tertegun sendirian. Ah, mana mungkinlah. Tapi hatiku gerun juga. Tidak mahu mengambil risiko, aku meminta diri dan terus menuju ke dewan asrama.
            Bacaan sudah separuh dimaterai begitu aku sampai di pintu. Aku mengambil tempat duduk di belakang sekali. Seseorang di sebelahku menghulur sebuah buku yassin kepadaku.
            Entah kerana kesakitan di tengkuk yang menganggu perjalanan rembesan hormon di kepalaku; ataukah mataku sudah mulai merabun; nyatanya aku mendapati sangat sulit membaca huruf-huruf yang dicetak di atas buku putih itu. Aku cuba mengingat bait demi bait ayat tika bacaan sampai di noktah mubin. Malangnya, yang berkali-kali muncul di kepalaku hanyalah wajah Nancy yang mengerang melawan sakitnya. Tiba-tiba perasaanku menjadi gelisah tidak menentu.
            Merasa lelah untuk pura-pura membaca, buku yassin itu kututup kembali. Aku berusaha tenang dengan menyingkirkan bayangan Nancy yang menganggu benak fikirku. Namun wajahnya terus muncul. Pelbagai spekulasi negatif pun bermain di minda.
            Tiba-tiba aku merasa sebuah sentapan keras menyintak di dalam perutku. Dadaku seperti terbakar. Air liurku pun terasa pahit dan kembang. Ah, sudah! Gastrikku sudah mulai menyerang. Baru aku teringat, aku tidak memakan suatu apapun semenjak semalam.
            Tidak tahan menanggung perih di perut, aku akhirnya mengambil keputusan untuk keluar saja dari dewan. Lebih baik aku mencari makanan di bilik sebelum gastrikku semakin parah. Sekurang-kurangnya, aku boleh menemani Nancy. Nancy! Mengingat Nancy dan spekulasi burukku tentangnya, bulu romaku mendadak berdiri.
            Begitu sampai di lorong dorm menuju ke bilik tempat kami berkumpul, aku terhidu bau wangi yang menusuk sukma. Bau itu bagaikan sebuah aroma segar yang membuat sakitku hilang perlahan-lahan. Belum pernah aku menghidu bau seharum itu. Tanpa sedar aku mengikuti bau itu hinggalah akhirnya aku dapati aku sudah berada di depan pintu bilik Nancy.
            Aku tertegun. 
Pintu bilik pun kukuak.
            Tidak ada sesiapapun di sana kecuali sebuah kosong yang mati. Hanya bau wangi yang menyambut kedatanganku. Di mana Nancy?
Aku menebarkan pandangan mataku dan kemudiannya terhenti di katil tempat Nancy berbaring tadi. Ada sesuatu yang aneh di sana. Perlahan aku melangkah. Dadaku berdebar kencang. Apa ini? Kulihat, setompok bercak darah merah segar mengalir dari atas katil sampai ke bawah.
Aku merasa rohku melambung. Perasaanku berkecamuk tidak keruan. Aku memang penderita hematophobia kronik. Tapi bukan itu permasalahannya. Soalnya, bau darah itu sangat menganggu emosiku. Sesuatu, yang entah apa membadai dalam laut perasaanku. Aku seperti berada dalam suatu persimpangan yang memaksa aku untuk memilih. Apa yang harus dipilih, aku juga tidak mengerti.
Buk!
Bunyi suara berdebuk dari arah kamar mandi di sebelah bilik menghentikan konfrontasi jiwaku. Itu pasti Nancy. Aku berlari mengejar bunyi itu.
Ketika pintu kamar mandi kubuka, kulihat Nancy terbaring lesu di atas lantai jubin yang dingin. Darah mengalir membasahi seluruh kain sarung yang dipakainya. Aku melangkah mendekatinya dengan gerakan yang sangat hati-hati. Aku mendengar nafasnya berbunyi satu-satu.
“Nancy...” panggilku. Suaraku terdengar garau.
Nancy mengerang. Tanpa membuka matanya, dia mengangkat jari telunjuknya seakan meminta pertolongan dariku.
“Kau kenapa...?”
Tiada jawapan. Hanya erangan yang seakan tiada hentinya. Perlahan, aku duduk sedikit bertinggung di sebelahnya.
Bingung dengan apa yang terjadi, aku cuba memerhatikan Nancy dengan lebih cermat. Aku cuba mengenalpasti kecederaan pada tubuh Nancy hingga menghasilkan darah yang sebegitu banyak. Tiba-tiba matiku tertumpu pada sebuah ketulan daging berlumur darah yang terletak di bawah kelangkangnya.
Aku mengangkat daging lembut berukuran lebih kurang dua sentimeter dengan tangan kananku. Objek itu, meski belum pernah kulihat secara nyata, tapi aku sudah biasa melihatnya di media masa. Bentuknya yang agak membesar di sebelah atas dan kecil di bahagian bawah itu meringkuk di tepalak tanganku. Dua titik hitam di bahagian atas dengan selaput membran sudah cukup untuk membuktikan bahawa ketulan itu adalah fetus!
Tanpa sedar aku melepaskan daging itu semula ke lantai.
Astaghfirullahilazim....jadi itu puncanya Nancy sakit! Dia ingin menggugurkan janinnya sendirian sebab itu dia menghalauku pergi. Dia melakukannya saat semua orang sedang sibuk mengurus ketaksuban pada Balan-Balan.
“Tolong aku, Nis...” rintih Nancy lemah. Dia bagaikan bunga mawar yang layu di tengah panas.
Ketika tangannya ingin kucapai, sebuah sentapan merentap tali perutku. Sakitnya lebih parah dari sebelumnya. Agh! Sakit itu datang lagi. Jangan sekarang, Tuhan. Aku perlu membantu Nancy dahulu, rintihku. Tapi kesakitan itu tidak mahu diajak berunding lagi. Tali perutku terus disentap seolah-olah ada kuasa yang berusaha meleraikannya dari tubuhku. Kejang di bahuku kembali menyerang. Aku mendengar bunyi urat yang bergerutup di batang leherku.
Agh! Sakit apa ini?
Aku menekup mukaku dengan tangan dengan harapan aku mampu mengusir kesakitan yang luar biasa itu. Tanganku menangkap sesuatu sesuatu yang ganjil di mulutku.
Apa ini?
Aku merasa seperti sedang memegang lidahku. Tapi lidahku tidak mungkin sepanjang ini. Aku melirik ke bawah. Benar! Lidahku panjang sampai ke dada!
Agh...!!! Kukira aku sedang menjerit sekuatnya antara rasa panik dan takut. Tapi aku tidak mendengar suaraku sendiri. Jesteru yang kudengar adalah bunyi seperti decit anak ayam yang kehilangan ibunya. Dan suara itu, jelas keluar dari mulutku sendiri. 
“Anis...” kulihat Nancy membuka matanya. Redup. Sesaat, mata itu berubah. Dia memandangku dengan lototan penuh ketakutan dan kengerian .  Mata itu kemudiannya terpejam lagi. Dia pasti sudah pengsan.
Melihatnya terbujur kaku, tiba-tiba segala kesakitanku hilang. Aneh. Ke mana hilangnya sakit yang membisa itu tadi? Tubuhku terasa ringan. Tidak ada lagi sakit yang membebat di perutku, juga beban yang memberat di bahuku. Segalanya bagai mimpi.
Perlahan aku mendekati Nancy kembali. Bau tubuhnya terasa begitu wangi semerbak. Janinnya pun terlihat begitu menggiurkan. Darahnya? Pasti manis sekali. Aku menjerit kepuasan. Bunyi burung wak-wak yang nyaring keluar dari mulutku.   


Comments

Popular posts from this blog

Sebuah Kematian Suri

Puteri Alam Zara

Ada Hantu Di Kepalaku