Sebuah Kematian Suri
Aku seperti manusia yang kehilangan ingatan. Aku tidak
tahu mengapa aku di sini, apa yang kucari dan apa yang kutunggu. Sudah tiga
hari aku begini. Tepat jam lima tiga puluh petang, aku akan ke pondok bas ini
seperti menunggu seseorang menjemputku. Namun orang yang kutunggu tak pernah
kunjung tiba. Bahkan orang yang kutunggu itupun tak ku tahu siapa. Aku akan
terus di sini menunggunya sehinggalah bunyi
ledakan yang kuat itu tiba. Pun, bunyi ledakan itu tidak kutahu dari mana puncanya.
Begitu alam beransur gelita, aku akan diserang kantuk yang hebat. Bila aku
terjaga, aku dapati aku masih di sini, tepat pada masa yang sama seperti
kelmarin. Lelah kucuba mengingat di mana rumahku, siapa namaku, bahkan ahli
keluargaku. Tiada satupun ingatan yang muncul di kepalaku.
Anehnya,
bukan sahaja tempat dan masa yang sama, tapi manusianya juga. Orang-orang yang
kutemui kelmarin, sama juga yang akan kutemui hari ini, lengkap dengan
perlakuannya. Lima orang lelaki dengan wajah aneh dan kulit hitam masih ada di
situ. Masing-masing sibuk dengan telefon bimbitnya. Sesekali mereka memandangku
sekilas, mengerutkan kening lalu menyambung lagi memicit-micit papan kekunci
telefon selularnya. Seorang nenek tua menjual keropok udang juga masih di tempat
yang sama. Perilakunya lebih aneh dari wajahnya. Dia seakan menyembunyikan
sesuatu dalam bakulnya. Seolah keropok yang dijual itu lebih berharga dari
nyawanya sendiri. Adakah aku sudah gila? Kenapa semua ini berulang sama seperti
kelmarin?
Lebih
aneh lagi, tidak ada yang mempedulikan kehadiranku di situ. Tidak lima lelaki
hitam, tidak juga si nenek tua. Terkadang muncul niatku untuk mengajak si nenek
bicara. Manalah tahu kalau dia tahu siapa aku, rumahku atau keluargaku. Tapi
dia seakan tidak ingin berbicara denganku. Bila aku menghampirinya, dia akan
memeluk bakul keropoknya kuat-kuat dan memalingkan wajahnya. Akhirnya, aku
mengurungkan niatku. Dia juga sudah separuh lali, fikirku. Mana mungkinlah dia
mengetahui alamat rumahku. Alamatnya sendiripun barangkali dia tak tahu.
Ah, pada
siapa aku harus bertanya? Di sini suasananya sangat sepi. Hanya kebun kelapa
sawit di sekelilingku dan bentangan jalan raya tar yang sudah digred halus.
Tidak ada satu kereta pun yang lalu kecuali nanti senja, ada jip tua datang dan
menjemput kelima-lima lelaki tersebut. Mungkin aku perlu bergerak menyeberangi
jalan dan mencari perkampungan yang terdekat. Tapi, untuk berjalan kaki dengan perut yang
memboyot ini, rasanya aku tidak sekuat itu. Janin dalam perutku ini nakal
sekali ulahnya. Entahkan lapar atau
merasa tidak selesa, yang pasti, dia kerap menendang dan mengejang keras.
Segera kuusap perutku
lembut. Sabarlah nak, nanti pasti ayahmu menjemput kita di sini, pujukku lirih.
Tapi, siapakah ayah pada bayi ini? Aku betul-betul tidak dapat mengingat.
Kupandangi jariku. Kosong. Tidak ada sebarang cincin di situ kecuali jari yang
ungu pucat. Sudah kahwinkah aku? Bila? Dengan siapa? Anak siapa yang kukandung?
Sebuah bas datang. Dari jauh kudengar lagu
dari radionya berteriak nyaring. Itu adalah bas pertama yang kulihat semenjak
tiga hari lepas. Aku segera berlari ke hujung pondok, cuba menahannya meskipun
aku tidak tahu kemana tujuannya. Begitu mendekati pondok tempatku berdiri, mereka
memperlahankan enjin bas. Seorang konduktor mengeluarkan kepalanya dari
jendela. Matanya melotot memerhatiku, ataukah memerhati arah di belakangku? Aku
sendiri tidak pasti kerana dia memakai kaca mata hitam. Aku melambai tangan ke
arahnya. Kukira mereka akan berhenti, tapi malangnya, mereka segera meluncur
pergi seakan lambaianku tiada maknanya sama sekali.
Aku mengeluh
hampa. Perlahan aku membalikkan badanku menuju semula ke tempat dudukku tadi. Adakah
dia benar-benar tidak melihatku atau sudah hilangkah rasa keprihatinan dalam
hatinya melihat perempuan dengan perut sebesar ini? Aku merasa diacuhkan, sama
sekali tidak dipedulikan.
Pedih, aku
memejamkan mataku rapat-rapat. Aku pasti sedang bermimpi. Mimpi ngeri. Mimpi
tidur di atas tidur. Ataukah jaga di dalam jaga?
Hujan
renyai turun. Seorang perempuan muda, berambut keriting berwarna perang berlari
anak menuju ke pondok tempatku berdiri. Dia memakai jeans lusuh dengan blouse
coklat. Dia menutup samping kepalanya dengan tangan agar tidak terkena hujan. Dia
hampir melanggarku kalau saja dia tidak segera menengadahkan kepalanya.
Mata
kami bertentang. Aku terpaku melihat wajahnya yang pucat. Orangnya tinggi
sedang dan berkulit coklat tua. Tubuhnya kurus kerempeng. Bibirnya kering
sementara matanya berkelayapan tidak keruan. Begitu menguasai keadaan, dia
tersenyum melihatku. Bukan senyum, tapi seringai kerana ia menjadikan wajahnya
tampak menyeramkan sekali.
Tanpa
suara, dia masuk berteduh ke dalam pondok. Entah kenapa aku mengikuti
langkahnya. Saat dia duduk, aku pun duduk. Setidaknya, ada manusia lain selain
manusia yang ada di pondok ini yang dapat kuajak bicara. Sesekali dia menoleh
pada manusia-manusia yang ada di sekelilingku. Mungkin merasa aman, dia kembali
senyum padaku.
Aku cuba
memulakan bicara.
“Aku
tidak pernah melihatmu di sini,”
Dia
mengangguk. “Aku juga tidak pernah melihatmu di sini,”
“Aku di
mana?”
“Kau
tidak tahu kau berada di mana sekarang?” tanyanya kembali. Aku menggelengkan
kepalaku bingung. Kalau kutahu, buat apaku tanyakan soalan itu?
“Kau
ingin tahu kau di mana?” tanyanya lagi. Kali ini, matanya yang nyalang itu tadi
bertukar nakal. Dia memandangi wajahku dengan seringai yang penuh teka-teki.
Aku
mengangguk laju.
“Sebenarnya,
kau kini sedang berada di ....”
Dari jauh kudengar deru enjin jip tua. Perbicaraan kami segera
terhenti. Aku tahu isyarat itu. Rutin yang sama akan berlaku sebentar lagi. Aku
menoleh ke samping kanan; si nenek penjual keropok di hadapanku bergerak pergi,
manakala di samping kiriku, lima perjaka berkulit hitam itu juga mulai bergerak
berdiri.
Si
rambut perang di sisiku berusaha mencuri tumpuanku. “Hey, dengar! Kau mahu tahu
kau di mana?”
Aku
mengangguk laju, sama seperti tadi. Namun, fokusku sudah hilang padanya. Aku
ingin tahu bunyi ledakan apakah yang sering kudengar itu. Aku melihat jip itu
berhenti di hadapanku, bersedia menumpangkan lima perjaka seperti sebelumnya.
Sementara si rambut perang masih terus mengasakku dengan soalannya.
“Kau
sebenarnya sedang berada di....”
Bum!!!
Bunyi ledakan itu pun muncul. Gelap. Pekat. Hanya bintang-bintang kecil berada
di kepalaku.
* * *
Aku
melihat manusia-manusia berbaju putih, ketat dengan sarung kepala putih
mondar-mandir di hadapanku. Ada yang menyorong troli, ada yang memeriksa jarum
disfusi. Seorang jururawat berada di sampingku sambil memeriksa pergelangan
tanganku. Dia lalu mencatatnya dalam kad rekod yang terletak di atas meja kecil
yang boleh disorong tarik di atas katilku. Melihat keadaan itu, aku bersyukur.
Aku pasti sudah diselamatkan dan kini sedang berada di hospital. Terima kasih,
Tuhan.
Perlahan,
aku membuka mataku.
Sepi.
Tiada jururawat. Tiada dinding-dinding putih dan kipas siling. Jesteru yang ada
hanyalah hutan bentangan ladang kelapa sawit, pondok bas dan jalan raya yang
lesu. Aku terkaku di tempatku duduk. Laju aku menoleh ke samping. Pemandangan
yang sama sekali lagi merentang di depan mataku; nenek tua di sebelah kanan,
lima perjaka di sebelah kiri.
Ya,
Tuhan! Aku kembali lagi di sini?
Tidak!!!
Aku menjerit semahu-mahunya. Namun suaraku seakan tenggelam timbul di celah
kerongkongku. Tiada yang mendengar dan tiada yang ambil peduli.
“Hey,
hey, hey! Kenapa kau menangis begitu?” terdengar satu suara parau. Aku menoleh.
Ternyata si rambut perang sudah duduk di sebelahku. Aku sama sekali tidak
menyedari kehadiranya. Melihatnya, aku jadi semakin menangis.
“Aku mahu
pulang. Kenapa aku masih di sini? Kau siapa? Mereka siapa? Aku di mana?”
tanyaku dengan linangan air mata.
“Tenanglah.
Kau selamat di sini,”
“Aku tak
mahu di sini. Ini bukan tempatku,”
“Kau
betul-betul mahu pulang?” tanyanya lembut. Bibirnya masih berseringai jalang.
Entah kenapa aku cuak melihatnya. Tapi sepertinya aku sudah tidak punya pilihan
lain.
“Kau
tahu di mana rumahku?”
Dia
mengangguk lembut. “Aku boleh menolongmu. Tapi dengan satu syarat....”
“Apa?”
Matanya merenung perutku yang memboyot. Lidahnya keluar
menitiskan air liur pekat. Dia sekali lagi menyeringai menatapku sambil
menjilat bibirnya yang kering dan melebar.
“Aku
mahu itu, janin dalam perutmu,”
“Hah?
Kau gila? Kau siapa sebenarnya?” aku berteriak sekuat hatiku. Kupegang perutku
kemas-kemas, berusaha untuk melindungi bayi yang ada dalam kandunganku.
“Aku
berjanji akan menghantarmu pulang asalkan kau berikan bayi itu padaku...”
Aku
sigap bangun menjauhinya meski tidak kutahu harus kemana. Aku berlari ke
samping kiriku, memohon perlindungan dari lima perjaka aneh yang terus-menerus menekuri
telefon bimbit mereka. Galau, nyatanya mereka tetap tak peduli padaku. Si
rambut perang bergerak menuruti langkahku yang sudah semakin mendekat ke hujung
pondok. Aku merasa benar-benar terancam hinggalah sebuah tangan hinggap di
bahuku.
Laju aku menoleh.
Seorang lelaki, berjubah
kelabu asap dan berketayap hijau berdiri tegak laksana seorang pendekar di
belakangku. Dia tidak memandangiku sama sekali. Matanya tajam tertumpu pada si
rambut perang yang gesit bertindak untuk menyerangku. Mulutnya kumat-kamit
membaca ayat-ayat yang sangat kukenal bunyinya. Tidak lama, si rambut perang
hilang begitu sahaja.
“Terima kasih,” ujarku
begitu keadaan sudah tenang. Kukira dia adalah malaikat penyelamatku.
“Kenapa kau di sini?”
tanyanya dingin.
“Aku tidak tahu. Aku tak
ingat sama sekali,”
“Sejak
bila kau ada di sini?”
“Semenjak
tiga hari lepas,”
“Kau sesat?”
Aku
menggeleng. “Aku tak tahu. Mungkin,”
“Kau
harus pulang,”
“Sudah
kukatakan, aku tak tahu di mana rumahku,”
“Kau
harus mengingat,”
“Aku tak
ingat apa-apa. Namaku pun aku tak ingat,”
Lelaki itu menggeleng lemah. “Kalau begitu, aku takkan
dapat membantumu,”
“Tolonglah
aku....”
Suara jip datang. Ah, tidak!
Jangan datang dulu. Aku tidak mahu melepaskan saat ini. Aku menatapnya dengan
pandangan yang penuh harap.
“Setidaknya,
kau harus tahu siapa namamu. Atau asal usulmu. Berusahalah nak”
Dari
jarak ini, aku dapat melihat si nenek dan lima perjaka mulai bergerak. Sesaat,
bunyi ledakan pun muncul. Gelap pun menjadi sahabat mataku untuk ke lima
kalinya.
Aku
dapat merasakan lembutnya elusan tangan di atas ubun-ubun kepalaku. Aku
mengenal elusan itu. Elusan khas, dengan jari-jari runcing yang panjang. Aku mengenal
bau yang mendekat dengan tubuhku itu. Aku juga dapat merasakan ciuman hangat
pada tanganku yang digenggam erat. Tanpa sedar, aku membalas genggaman tangan
itu. Ternyata, genggamanku menyintak respon yang luar biasa. Serentak dengan itu, aku mendengar suara menjerit
memanggil doktor.
“Dia mengenggam tanganku. Matanya juga
bergerak-gerak cuma dia tidak dapat membukanya,”
Aku
kenal suara itu. Itu suara suamiku. Ya, suamiku, Ehsan. Ya, Tuhan. Aku sudah
ingat. Aku punya suami. Kami baru saja diijabkabulkan setahun yang lepas. Dan
anak yang kukandung ini, adalah hasil perkongsian cintaku dengannya. Aku
menjerit memanggil namanya.
“Abang...!” serentak itu mataku terbuka.
Sepi. Tiada suamiku. Tiada doktor. Demi,
Tuhan! Aku ditipu lagi. Aku masih di sini, menjadi penghuni pondok bas yang
tidak kutahu di mana lokasinya dengan manusia-manusia yang semakin aneh
sifatnya.
Namun hari
ini, tidak seperti hari-hari kelmarin. Aku mendapati, sudah ramai pengunjung
yang datang berteduh di pondok ini. Mataku berkeliar mencari si rambut perang,
khuatir kalau dia ada dan mahu menyakitiku lagi. Begitu memastikan dia tidak
ada, aku segera mencari lelaki malaikat kelmarin. Hampa. Dia juga tidak ada.
Lalu siapa saja manusia-manusia ini semuanya? Kenapa ramai sekali?
Masing-masing berkeliaran seolah-olah mencari sesuatu. Di hujung kanan dan di
hujung kiri, lima perjaka hitam dan nenek tua masih terus dengan aktivti aneh
mereka. “Kudengar kau sesat,” satu
suara parau membisik di telingaku. Suara itu datangnya dari arah kiriku.
Aku
menoleh. Seorang lelaki berwajah lonjong berada demikian hampir dengan wajahku
hingga hidung kami hampir bertembung. Aku hampir menjerit kalau saja dia tidak
meletakkan hujung jari telunjuknya pada bibirnya yang nipis berkedut. Matanya
melirik ke samping, memberi isyarat agar aku tidak membuat suatu apapun untuk
mengundang perhatian makhluk yang sedang berkeliaran di sisiku itu.
Dia
kemudiannya memberi isyarat padaku untuk mengikutinya. Bagai terbius, aku
menurut langkah si lonjong pergi meninggalkan kerumunan dan keriuhan di pondok
bas. Kami bergerak menjauh dari pondok tanpa disedari oleh sesiapapun hinggalah
satu suara tiba-tiba menghentikan kami.
“Hey!”
Ternyata, si gadis berambut pendek kelmarin sudah datang.
Wajahnya menyeringai berang. Jeritan si perang menarik perhatian makhluk yang
sedari tadi berkeliaran di dalam pondok. Kini, berpuluh pasang mata tertumpu
pada kami. Hatiku berdebar kencang. Saat itu baru aku menyedari kalau
wajah-wajah di dalam pondok itu tidak lagi berupa manusia. Bahkan si perang
itu, kepala yang ditutupnya dengan tangannya kelmarin rupanya sudah sobek
sebelah. Ada kesan tembakan senapang patah dekat kepalanya. Sebahagian otaknya hancur
dan mengeluarkan lendiran putih likat. Tiba-tiba aku merasa perutku mual dan
tekakku menjadi loya.
“Pengkhianat! Kau mahu bawa
ke mana dia?” jerit si perang dari arah pondok. Jarak kami sejauh enam hasta.
Suaranya melengking ke udara.
Tanpa
mempedulikan jeritannya, si lonjong memintaku untuk terus mengikutinya. Sekali
aku bagaikan terbius. Kuikut saja perintahnya. Malangnya, saat kakiku melangkah
semakin menjauh, seakan ada sesuatu menahannya bergerak. Ia seperti melekat di
atas jalan. Aku cuba menariknya ke depan tapi jesteru aku yang terpontang ke
belakang.
Si lonjong
menatapku marah. Matanya mulai merah. “Kau kenapa?” tanyanya garau.
“Aku tak
dapat bergerak,” kataku sambil menunjukkan kakiku yang kaku. Dia merenung
kakiku yang tertancap di bumi. Wajahnya menyimbar warna merah. Aku menoleh
kebelakang dan mendapati, segerombolan makluk di pondok yang diketuai oleh si
perang bergerak mendekati kami. Perasaan takut dan seram bercampur-baur menjadi
satu. Kupejam mataku rapat-rapat dan berharap agar ledakan bunyi jip tua itu
segera datang dan menghentikan semua ini. Aku dapat merasakan langkah yang kian
mendekat. Bau hanyir yang memualkan menerkup masuk ke dalam hidungku. Aku terus
berzikir dalam hati dan mulai menghitung untung nasibku satu persatu...
“Yaaaaaasiiin.....Walqurnilhakim....” entah
dari mana datangnya suara itu. Serentak itu, yang kulihat hanyalah gelap.
* * *
“Mas...”
Aku mendengar namaku
dipanggil. Benarkah itu namaku? Jadi, namaku Mas? Mas apa? Mastura? Maslina?
Aku terjaga begitu mendengar
suara riuh yang panjang. Ada suara yassin, ada suara gaduh. Di mana aku? Tunggu.
Jangan buka matamu dulu, Mas. Tarik
nafas dan hembus satu-satu. Atau kau tak perlu buka sama sekali, biar kita
tidur saja sepanjang masa. Ya, bukankah itu lebih baik? Aku tidak sanggup
terjaga dan mendapati yang aku masih berada di pondok bas celaka itu. Aku tidak
mahu lagi berjumpa dengan lima perjaka acuh, nenek keropok, gadis berambut
perang, lelaki lonjong, atau mana-mana makhluk aneh kecuali yang satu itu,
lelaki malaikat dengan ketayap hijau.
Tapi
suara itu, alangkah riuhnya. Aku menajamkan telingaku, cuba mengamati satu
persatu apa yang diutarakan mereka.
“Kasihan. Dia belum sedar yang dia sudah
mati,”
“Bodoh! Dia belum mati. Lihat, dia
masih bernafas. Aku dapat merasa hangat nafasnya,”
“Ya, benar. Tubuhnya yang masih
wangi manusia,”
“Hey, aku yang menemukannya duluan,”
“Kau diam, pendek!”
“Aku mahu janinnya. Beri aku
janinnya!”
“Aku mahu jasadnya. Di mana
jasadnya?”
“Aku mahu rohnya. Berikan aku
rohnya,”
“Jasadnya
sudah dibawa balik sejak enam hari lepas,”
“Oh...jadi dia belum mati? Hanya
rohnya ada di sini?”
“Kau mau buat apa sama rohnya?
Selagi dia belum mati, selagi itu dia tidak dapat pergi dari sini”
“Jadi kita tunggu saja dia mati,”
Ya, Tuhan...dialog apakah itu? Adakah mereka sedang
berbicara tentangku? Sungguh, aku ingin sekali memicingkan sedikit mataku untuk
melihat kebenaran itu, tapi sesuatu dalam hatiku menolak. Aku benar-benar tidak
berani membuka mataku walau sedikit pun!
“Mengapa rohnya tinggal di sini? Kenapa dia
tidak mati saja seperti orang-orang suluk itu?”
“Mana aku tahu. Kau tanyalah sama
itu suluk sendiri,”
“...atau sama itu nenek yang jual
keropok,”
“Dorang semua mati terbakar dalam
itu jip. Mungkin ini perempuan tidak naik itu jip sama-sama,
Suluk. Nenek jual keropok. Jip.
Terbakar. Aku memicingkan
ingataku, cuba mengingat kembali seluruh kejadian yang berlaku tujuh hari
lepas.
“Kau harus mengingat. Setidaknya, kau harus
tahu siapa namamu. Atau asal usulmu. Berusahalah nak,”
Satu persatu imbasan datang
menerpa benakku. Ya, aku ingat hari itu. Pihak tentera mengisytiharkan darurat di
kawasan Felda Sahabat di daerah Tunku, Lahad Datu hari itu akibat serangan
tentera Sulu yang semakin meningkat. Semua penduduk felda dilarang keras untuk keluar
rumah.
Aku terlambat tahu mengenai
amaran itu kerana tiga hari sebelumnya, aku berkursus di Kota Kinabalu. Aku
hanya tahu mengenai amaran itu setelah diberitahu oleh pemandu bas yang
menghantarku ke sana. Puas dirayu, pemandu itu tetap tidak mahu menghantarku
masuk ke kawasann felda. Dia menurunkan aku di pondok bas, 100 meter dari pintu
utama felda.
Aku sudah berkali-kali
menghantar pesanan ringkas kepada suamiku melalui talian WhatsApp memberitahu
kepulanganku. Beberapa jam selepas mesej itu kuhantar baruku menyedari kalau
pesanan itu tidak sampai ke talian suamiku.Biasanya, dalam keadaan darurat
begini, talian internet telah disekat untuk keselamatan umum. Malangnya, aku
juga tidak mempunyai kredit untuk menyampaikan pesanan melalui sms.
Lalu di sinilah aku menunggu, di pondok bas
ini pada tujuh hari yang lepas. Doa langsung tak pernah putus kumunajatkan dalam
hati agar aku tidak ditawan oleh tentera Sulu atau ditangkap oleh anggota
keselamatan kerana melanggar perintah berkurung. Selang beberapa minit, tiga
orang lelaki berkulit gelap datang untuk
turut sama menumpang dalam pondok yang sama. Mereka memandangiku dengan hairan.
Wajah mereka terlukis banyak pertanyaan tapi mereka terlalu sibuk mengurusi
telefon bimbit masing-masing. Sesekali mereka mengerling ke arahku. Tidak lama,
dua orang lelaki lagi muncul. Karakternya tidak ubah sama seperti tiga sebelumnya.
Mereka berbicara dalam bahasa suluk yang tidak kufahami sama sekali. Hatiku
berdebar kencang. Mungkinkah mereka pengganas yang menjadi tentera Raja
Azimuddin Kiram? Sejurus selepas itu, seorang nenek tua datang dengan sebuah
bakul dari celah semak. Dia membawa sebuah bakul berisi keropok yang
digorengnya sendiri.
Tunggu. Ya, aku ingat
sesuatu. Salah seorang dari lelaki itu ada memberi isyarat mata pada sang nenek
sebelum beranjak pergi. Nenek itu kemudiannya menyerahkan suatu bungkusan dalam
bakulnya yang dibalut dengan kain hitam. Bentuknya panjang seperti
silinder. Begitu jip datang, mereka
berdiri serentak. Jip itu berhenti tepat di depanku. Kelima-lima pemuda itu
menaiki jip tersebut sementara si nenek beranjak pergi ke arah bertentangan. Saat
itu aku lebih berminat memerhatikan nenek yang begitu misteri. Saat itulah, aku
mendapati satu suara ledakan keras datang dari dalam jip. Bunyi seperti bom
yang diletakkan dalam botol kaca. Gumpalan api menyerbu ke udara. Aku
terpingkal kaget. dan terpelanting jauh ke hujung pondok sebelum segalanya
menjadi hitam dan pekat.
Kukira itulah kronologinya.
“Kita
harus menyakinkannya bahawa dia sudah mati,”
“Bagaimana?”
“Bawa dia pergi. Makin jauh dia dari
sini, makin dekat dia dengan kematiannya,”
“Aku sudah cuba, tapi tidak dapat.
Rohnya dipanggil pulang setiap azan maghrib. Hanya saja dia terlalu lemah untuk
mencari jalan pulang walaupun sudah diseru berkali-kali,”
“Dasar manusia bodoh! Pasti dia
banyak dosa,”
“Sekurang-kurangnya dia masih
hidup,”
“Apa bezanya? Hidup tapi mati,”
“Daripada kau, mati tapi hidup?”
“Jadi apa bezanya dengan kau?” ku dengar mereka saling mentertawakan.
“Hari ini adalah hari ketujuh dia di sini,”
“Pastikan kita mampu menggodanya
sebelum azan maghrib,”
Tidak! Aku belum mati! jerit
hatiku sekuatnya. Kalau pun kuharus mati, tidak di sini tempatnya. Aku harus
pulang! Aku mesti pulang! Tuhan, bantu aku, berikan aku kekuatan. Abang, tolong
Mas, abang!
“Lihat,
matanya bergerak,”
“Mulutnya
juga,”
“Tangannya
menggelinjing,”
“Dia
seperti orang tercekik sesuatu. Cepat, panggil doktor,”
Doktor? Aku di hospital! Aku
sudah berada di alam nyata!
“Tahan
dia. Jangan biar dia pergi,”
“Goda
imannya sampai dia tidak tahu harus ke mana,”
“Bawa
mengucap, Mas, ingat Tuhan,”
“Kau
harus mengingat, setidaknya namamu,”
Aku bagai manusia di atas
awan. Berpusing-pusing roh ku berpusar di atas angin. Aku jadi keliru dengan
segala yang kudengar, sementara aku masih tidak mampu membuka mataku sama
sekali. Gambaran-gambaran peristiwa berlapis dan berputar dalam mindaku,
memainkan sakit di kepalaku yang tidak dapat kutahan lagi. Betapa aku ingin
menjerit sekuat hatiku.
“Bangunlah
Mas, buka matamu”
“Iya
Mas...bukalah matamu. Di sinikan ada kami yang selalu menemanimu,”
Itu suara suamiku, bukan,
itu suara si lonjong. Entahlah aku semakin keliru. Semuanya bercampur-baur menberikan
rasa keliru yang fatal. Tubuhku semakin mengejang bagai penderita penyakit gila
babi. Tuhan, lepaskanlah aku dari siksa ini. Aku hanya ingin pulang. Aku tidak
mahu ke pondok celaka itu lagi. Kalau
aku tidak dapat pulang, biarkan saja aku mati daripada aku harus kembali ke
sana. Tuhan, cabutlah nyawaku!
“Mas....”
Tidak! Aku tidak akan
tergoda dengan rayuanmu. Kau syaitan. Kau sudah mati. Tapi aku masih hidup dan
ingin terus hidup. Aku harus melahirkan bayiku. Sekali lagi aku merasa tubuhku
mengejang. Aku mendengar namaku dipanggil berkali-kali. Tanganku disentuh cuba
menenangkan aku. Aku menjerit saat tubuhku dipegang. Tidak! Kamu syaitan!
“Mas! Bangun, Mas. Buka
matamu,”
Lepaskan! Celaka kau iblis!
Kenapa kalian menahanku?
“Mas! Kuatkan semangat,
Mas,”
Tubuhku mengejang lagi.
Tidak, aku tidak mahu bangun. Biarkan saja aku mati.
“Mas, bawa mengucap,”
Kau penipu, kau iblis, kau
sengaja mahu membuatku membuka mata agar aku bertahan di pondok itu lagi.
Aku merasa satu tangan
menekan ubun-ubunku. Sebuah tangan yang hangat. Aku mengenal sentuhan itu.
Sentuhan suamiku. Tapi tidak! Mereka pasti membohongiku lagi.
“Asslamualaikum, Maslinda
Binti Hanafi, isteriku...demi Allah, bukalah matamu....” itu suara suamiku.
betul, itu suara suamiku. Aku yakin sekali. Tubuhku mula lemah. Aku sudah
berhenti menggejang. Perlahan aku mencuba membuka mataku.
Siling putih. Dinding putih.
Wajah-wajah perawat dan doktor yang tak kukenal berbaris di hadapanku. Hanya
tiga wajah yang kukenal pasti; pertama suamiku, kedua, lelaki berketayap hijau;
dan ketiga, diriku sendiri.
Aku sudah pulang.
Comments
Post a Comment