Zulkiflil

Aku memerhatikan murid-muridku yang sedang menyiapkan tugas yang telah kuarahkan. Ada yang menunduk dengan penuh kosentrasi menyudahkan kerja, ada yang menulis sambil sesekali berbual, ada pula yang termenung menggigit pen sambil memerhatikan kipas yang berputar. Mataku terhenti di sebuah bangku kosong di deretan dua dari kanan. Penghuni bangku itu kerap tidak hadir ke sekolah tanpa alasan yang benar-benar dimaklumi guru. Tanpa surat, tanpa basa-basi, penghuni kerusi itu datang sesuka hatinya. Guru-guru sudah bosan memberinya amaran. Kalau dikirim surat amaran, kita akan dapati kalau surat itu akan sengaja tertinggal di laci sekolah.

            “Ada yang tahu ke mana Zulkifli hari ini?” tanyaku memutuskan proses berfikir murid-murid yang berusaha menyudahkan karangan bahasa inggeris mereka. Murid-murid berpandangan sesama sendiri.
“Mungkin sudah tenggelam di laut,” sahut Hadi spontan. Jenakanya diiringi gelak tawa rakan sekelas.
Aku menggelengkan kepalaku kesal.
Sebenarnya, murid-murid memang menyenangi ketidakhadiran Zulkifli ke sekolah. Tanpanya, kelas jadi jauh lebih aman dan sekolah pun akan bebas dari jenayah salahlaku yang akan dilakukannya. Paling penting, kami dapat menghindari mangsa yang bakal cedera oleh Zulkifli akibat panas barannya. Namun aku  sudah terbiasa dengan segala kemungkinan yang akan dilakukannya. Entah seperti corak kehidupannya hingga dia membesar tanpa kawalan seperti itu.  
Besoknya Zulkifli hadir ke sekolah dan menempati bangkunya. Ketika aku masuk ke kelas, aku memandanginya sekilas. Dia menghindar jadi buruan mataku dengan pura-pura menekuri meja belajarnya. Barangkali dia mahu mengelak untuk menjadi mangsa ilmu kaunselingku. Mengajar di daerah terpencil dengan gred sekolah yang rendah memang tidak enak sama sekali. Kekurangan guru opsyen menjadikan kita terpaksa memikul beban tugas menjadi guru serba tahu meski subjek yang kita ajar sama sekali di luar bidang pengetahuan kita. Aku contohnya, semenjak ditempatkan di sekolah ini, terpaksa mengajar bahasa inggeris meski aku keluar dari universiti dengan membawa gelaran kaunselor.  
            Namun tengahari itu, selepas waktu rehat, aku mendapati Zulkifli sudah berdiri di depan tiang bendera. Pasti dia didenda lagi.
            Dia menyedari kehadiranku lalu membuang mukanya lagi ke samping. Cikgu Bahar, seorang guru disiplin senior sedang mengawasinya dari atas koridor.
            “Biarkan saja cikgu,” katanya seakan tahu persoalan di kepalaku. “Itu balasan baru sedikit untuk orang yang suka jadi hero di sekolah ni,”
            “Apa yang dilakukanya?”
            “Bergaduh dengan budak tahun tiga sampai berdarah kepala,”
            “Hah...?” aku terperangah. Zulkifli, meski berbadan agak kurus, namun otot badannya kelihatan lebih kuat berbanding kanak-kanak seusia dengannya. Mungkin cara hidup yang dilaluinya membantunya untuk memiliki tubuh seperti itu. Sedangkan berkelahi dengan rakan seusianya pun dia masih menjadi jaguh, apakan lagi kalau dia bergaduh dengan rakan yang lebih muda darinya.
            “Kenapa, Zul?” tanyaku ingin tahu.
            “Dia cakap saya budak sampah,”
            “Jadi? Memang betul pun kau kerja kutip sampah, kan? Yang selongkar tong sampah rumah orang, korek-korek tong sampah MDP tu, memang kerja kau, kan?” jerkah Cikgu Bahar agak ironis.
            “Ya. Memang saya kerja kutip sampah. Tapi saya bukan budak sampah,” jawabnya degil. “Nasib baik saya kesian. Kalau tidak, saya kasi mati tu budak, cikgu,” jawabnya dalam suara sedikit menekan. Jantungku bergetar mendengar kata-kata itu.
            “Hah....dengar tu, cikgu? Budak ni memang tak kenal rasa bersalah. Suka-suka hati nak memukul orang. Apa kau ingat sekolah ni tiada undang-undang? Dah lah jarang datang. Asal datang je, mesti buat masalah,” Cikgu Bahar merenung Zulkifli dengan pandangan tajam.
“Apasal kau datang hari ni? Dah habis ikan di laut tu kau tangkap? Atau dah habis tong sampah rumah orang kau selongkar?” sambung cikgu Bahar tanpa belas. Aku mengerutkan dahiku. Kukira kata-kata itu tidak patut diutarakan pada kanak-kanak seusia Zullkifli. Tanpa mempedulikan riak wajahku yang kurang senang dengan kata-katanya, Cikgu Bahar meneruskan omelannya.
            “Menyusahkan orang sampai kena hantar pula budak tu ke hospital. Esok mesti mak bapanya datang sini marahkan cikgu-cikgu pula sebab tak jaga anak dia. Tu belum lagi kalau dorang lapor pada polis. Satu hal pula nak buat laporan berjela-jela pada PPD,”
            “Cikgu Bahar....” aku akhirnya bersuara cuba mengingatkannya bahawa bahasanya sudah agak terlebih kasar.
            “Apa?” Cikgu Bahar membeliakkan matanya padaku. Tanpa kusangka, dia bersuara kuat menengkingku. “Hei, Cikgu Zura. Apa kau ingat ilmu psikologi kau tu berguna ke dekat kampung ni? Simpan sajalah sarjana kau tu dalam almari. Budak-budak ni tak makan kaunseling-kaunseling kau tu sebab dah biasa makan penampar. Ni budak Zul sorang ni, kalau ilmu kaunseling tu berguna, dah lama dah dia ni berubah. Dah puas dah dia ni dinasihat, diberi peluang oleh cikgu-cikgu di sekolah, ikut kelas motivasilah, jati dirilah, tapi semuanya ibarat menyiram air di daun keladi. Nak buat macamana kalau dah di rumah pun hidup dengan manusia yang tak reti nak jaga anak,”
            “Hei, cikgu! Jangan kau bawa-bawa bapa saya,” teriak Zulkifli kuat. Juga, di luar dugaanku sama sekali.
            “Apa?!” Cikgu Bahar membalas jeritan Zulkifli dengan wajah memerah. Aku tahu kalau kali ini dia benar-benar marah. Dengan langkah yang laju, dia menuruni anak tangga dan menuju ke arah kami berdiri. Zulkifli siap menungguinya tanpa sedikit pun perasaan takut. Akulah yang gerun melihat semua adegan ini!
            Cikgu Bahar sudah siap siaga berdiri di hadapan Zulkifli.
            “Apa kau cakap? Kenapa? Apa tak betul ke apa aku cakap? Memang betul pun bapa kau tu tak reti jaga keluarga sampaikan mak kau sendiri tinggalkan kamu semua. Tau beranak lepas tu suruh ke laut tangkap ikan. Kalau betul bapa kau tu berakal, kau tak jadi macam ni, tau tak? Kau dan adik kau tu sepatutnya ke sekolah macam orang-orang lain, bukannya ke laut menggadai nyawa sampai tengah malam. Kerajaan dah bagi macam-macam bantuan untuk korang ke sekolah tapi korang adik-beradik macam ni juga. Beg sekolah percuma, baju, kasut, buku, duit KWAPM, duit kebajikan bulan-bulan dapat, duit zakat, duit BR1M, apalagi yang korang tak dapat? Cuba cakap? Tapi tengoklah apa jadahnya akhirnya? Ke laut juga tangkap ikan. Pergi sekolah selekeh nak mampus. Buku sekolah tak bawa. Dah tu jadi samseng pula di sekolah. Kau nak jadi apa ni? Kau nak hidup macam bapak kau? Miskin seumur hidup mengharap bantuan orang? Kau tak fikir ke kalau kau bersungguh nak sekolah, kau boleh ubah hidup keluarga kau suatu hari nanti?”
            Bergema dan berjela jeritan suara Cikgu Bahar membelah ke udara. Seketika kulihat Zulkifli berdiri mematung tanpa suara. Raut wajahnya berubah sedikit menyerah. Benarkah apa yang kulihat? Ada rembesan air jernih bergenang dari sudut matanya.
            Melihat Zulkifli diam, Cikgu Bahar meneruskan kata-katanya. Kali ini, suaranya mulai merendah tapi masih bernada garang.
            “Saya tak tahu apalah nak jadi dengan kau ni Zul. UPSR dah makin dekat. Tapi kau macam tak peduli dengan masa depan kau sendiri. Kau bukannya bodoh tak tahu menulis mengeja. Keputusan ujian kau bagus walaupun tak cemerlang. Tapi saya percaya kalau kau bersungguh, kau boleh capai ke tahap tu. Kalau iya pun kau penat di rumah, janganlah kau lepaskan sakit hati kau di sekolah. Sekolah tempat belajar. Kau nak belajar. Orang lain pun nak belajar. Ini bukan tempat nak melepas dendam dan ini bukan tempat untuk didik manusia jadi samseng,”
            Ayat terakhir Cikgu Bahar disambut dengan air mata Zulkifli yang merembes keluar. Melihat air mata itu aku jadi tidak mampu mengawal diriku sendiri. Dadaku merasa sangat haru dan sebak.
            Malangnya, Zulkifli tetaplah manusia yang terdidik dengan jiwa kasar dan sombong. Begitu menyedari aku mulai menaruh simpati padanya, dia mengundurkan langkahnya setapak ke belakang. Matanya menatapku dengan pandangan yang tidak sudi dikasihani hingga   berlakulah sebuah komunikasi bisu antara kami. Zulkifli mundur selangkah lagi, dua langkah, tiga langkah. Lalu tanpa sempat ditahan oleh Cikgu Bahar, dia membalikkan badannya dan berlari menuju ke pagar sekolah. Dia terus berlari meskipun ditahan oleh pengawal keselamatan hinggalah bayangnya hilang dari pandangan mata kami.
            Esok dan esoknya wajah Zulkifli tidak lagi muncul di sekolah. Ketidakhadirannya menyebabkan dia terlepas ujian Excel yang diadakan buat kali kelima. Aku mulai merasa gusar. Aku takut kalau dia tetap tidak hadir pada hari peperiksaan sebenar nanti. Tidak dapatkah pihak sekolah melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini selain dari menghukumnnya?
            Akhirnya, petang itu, tanpa izin guru besar, tanpa makluman rasmi kepada pihak sekolah, aku memberanikan diri mempertaruhkan nasib untuk menjenguk Zulkifli di kediamannya. Berdasarkan informasi yang kuperolehi, Zulkifli tinggal di kawasan penempatan haram yang dibina oleh kaun nelayan sejak berbelas tahun yang lalu. Agak mudah mencari kawasan itu kerana ia benar-benar terletak di pantai, berhadapan laut.
            Ketika aku sampai ke sana, aku tergamam sendiri melihat kedaifan tempat tinggal yang tidak layak digelar rumah itu. Ia lebih layak digelar pondok kerana saiznya yang agak kecil untuk dihuni manusia secara normal. Terdapat lebih kurang lima buah pondok yang semuanya sudah usang dan dibina dari bahan binaan yang ala kadar. Dindingnya diperbuat dari papan rapuh manakala tiangnya dari kayu bakau. Sebahagian atap ditutupi dengan daun nipah dan zink berkarat. Sisik-sisik dan perut ikan menumpuk di suatu sudut mengundang kehadiran lalat dan bau yang menyengat. Aku tidak tahu harus bernafas dari mulut atau dari hidung.
            Pada bahagian belakang pondok pula terdapat tempat penyimpanan barang bekas. Ada besi berkarat, ada tin aluminium dan beberapa lagi tumpukan barang yang tidak mampu lagi kekenali dengan baik. Bau aroma sampah bercampur dengan sisik dan perut ikan benar-benar membuat tekakku loya. Suasana agak sepi sekali. Aku meliarkan mataku mencari manusia yang boleh kuajak bicara.
            Seorang budak perempuan dengan tubuh kecil berlari-lari anak di hadapanku. Aku memanggilnya dan bertanya padanya rumah Zulkifli. Dia mengenalkan dirinya sebagai adik Zulkifli dengan bahasanya yang tertatih dan sukar kufahami. Tanpa banyak bicara, dia meluruskan telunjuknya ke sebuah pondok yang terletak di deretan paling hadapan.
            Aku melangkah perlahan menuju ke pondok yang dimaksudkan oleh si kecil itu tadi. Seorang lelaki sedang duduk menjahit jala di pangkin hadapan. Demikian asyiknya dia menekuri kerjanya hinggakan dia tidak menyedari kehadiranku. Aku mendapati kaki sebelah kanannya dipotong hingga separas lutut.
            Aku menyapanya dengan salam yang ramah. Salamku disambut hangat. Dia menghentikan kerjanya lalu menyilakan aku duduk.
             Setelah mengenalkan diri dengan bahasa yang ringkas dan mudah, aku pun menceritakan padanya maksud kedatanganku. Pada mulanya aku dikuasai rasa segan dan khuatir. Dia tidaklah sebengis yang diperkatakan oleh Cikgu Bahar. Ternyata, pengalaman Cikgu Bahar selama belasan tahun menjadi guru boleh tersilap juga. Dia mendengar setiap aduanku dengan tenang tanpa niat mahu mencelah. Hanya sesekali air mukanya berubah dan dahinya berkerut. Dia dengan penuh sabar menantiku selesai bicara. Tidak pula dia terkejut mendengar setiap ceritaku yang tentu saja sudah kupotong-potong pada bahagian yang terburuk.
            Ayah Zulkifli masih terus berdiam meski aku telah selesai dengan segala isu pengaduanku. Tanpa kata, dia membuang pandangannya jauh ke hadapan laut. Saat itu senja sudah hampir menggantikan waktu bumi. Lelah menunggu jawapannya, aku mengikuti pandangannya. Ternyata, di hadapan sana, sebuah perahu telah menghampiri pantai, siap untuk berlabuh. Gadis cilik yang kujumpai tadi siap berdiri sambil melambaikan tangannya ke arah laut.
            Perahu pun berlabuh. Seorang lelaki dewasa melompat turun dari perahu diikuti seorang budak lelaki yang cukup kekenali fostur badannya. Itu pasti Zulkifli. Dia berdiri di dalam perahu menghulurkan hasil tangakapan manakala lelaki yang satu lagi menerima hulurannya dari bawah perahu. Dia melambai kepada adiknya yang terus melompat girang menyambut kepulangannya. Entah rasa haru atau sedih, dadaku jadi sebak melihat adegan itu.
            “Terima kasih sebab susah-susah datang ke sini untuk tengok kami, cikgu,” akhirnya si bapa yang kukira bisu itu bersuara. “Tapi cikgu tengoklah keadaan kami ni, ibarat kais pagi makan pagi. Kalau tak mengais, siapa mau kasi kami makan?” 
            “Saya tahu Zul tu budak yang bijak. Tapi dia kena terima hakikat yang dia tu sudah jadi ketua keluarga. Tiada ibubapa di dunia ni yang mahu anak dorang susah, cikgu. Ini semua ketentuan takdir. Tiada siapa di dunia ni boleh menolak takdir yang telah ditetapkan olehNya,”
            “Tapi Allah juga tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kalau kaum itu sendiri tidak mengubahnya,” bantahku.
            “Betul, cikgu. Jadi, kalau cikgu rasa cikgu boleh ubah takdir anak-anak saya, cikgu teruskanlah. Takdir saya, sudah lama terlukis begini dan dah tak boleh diubah lagi,” balasnya perlahan. Aku sedikit bingung dengan kata-kata itu namun sesuatu di hujung pantai menghentikan aku untuk terus membantah. Zulkifli dan pakciknya sudah selesai memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Sekarang mereka hanya perlu membawa hasilan itu terus ke pondok tempat kami berada. Kelihatan adik Zulkifli, berkata sesuatu kepadanya. Gadis itu menuding jarinya ke arah kami. Tidak lama, kulihat kedua mereka berlari anak menuju ke arah kami.
            Aku menyambut Zulikifli yang masih berbau air masin dengan senyum manis.
            “Cikgu....cikgu buat apa di sini?” tanyanya dengan wajah bingung.
            “Cikgu risau kamu tak datang sekolah, Zul. Sebab tu cikgu cari kamu, sekaligus nak bincang dengan bapa kamu ni pasal masalah kamu. Manalah tahu kami....” aku berhenti seketika untuk menunjukkan bahasa isyarat dengan tangan bahawa yang kumaksudkan kami ialah aku dan ayahnya yang duduk di sampingku. “....kami sama-sama boleh atasi masalah ketidakhadiran kamu ni,”
            Zulkifli menatapku hairan. Matanya hampir terbonjol keluar dan keningnya hampir bertemu. Kukira dia marah. Tapi bukan, wajah itu bersorot lebih aneh dari sebuah perasaan marah. Dia melirik ke sampingku dengan wajah yang menakutkan aku. Adiknya, Nana, si cilik manis itu berdiri di belakangnya bersembunyi seakan minta dilindungi.
            “Tapi...bapa saya dah meninggal sebulan lepas, cikgu. Sebab tu saya tak datang sekolah. Kalau saya sekolah, siapa mau kasi makan adik saya ni?”
            Kata-kata itu bagai halilintar menghujam kepalaku. Tanpa sedar aku menoleh ke samping. Tidak ada sesiapa di sana melainkan sebuah jala usang yang tergantung di tepi pangkin. Otakku mulai ligat memacu pita mengulang kembali setiap inci peristiwa yang kulalui sebentar tadi. Malangnya, tidak ada apa yang mampu kuingat dengan baik kecuali sebuah ayat yang berbunyi; “Kalau cikgu rasa cikgu boleh ubah takdir anak-anak saya, cikgu teruskanlah. Takdir saya, sudah lama terlukis begini dan dah tak boleh diubah lagi,”

            Duniaku pun bertukar jingga. 

Comments

Popular posts from this blog

Sebuah Kematian Suri

Puteri Alam Zara

Ada Hantu Di Kepalaku