Sebuah kembara astral

     

Sudah tiga bulan, lebih sedikit anakku yang selalu manis dan manja itu tidur pulas di atas ranjangnya. Demikian asyiknya dia mengulit mimpi seakan tidak ada satupun yang mampu mengejutkannya. Tusukan demi tusukan jarum yang bersilih ganti menembusi kulit tangannya, urat kakinya atau bahkan kulit kepalanya juga tidak mampu menggoyahkan mimpinya. Dia bagaikan puteri salju yang tewas akibat termakan epal beracun. Kami pula adalah tujuh orang kerdil yang setia menantinya membuka mata. Kami telah menciumnya beratus kali dengan kesejatian cinta yang tiada sumbingnya. Namun sepasang kelopak matanya tetap tidak pernah sudi terbuka. Putera manakah yang ditunggunya? Sungguh, aku tidak mengerti apa yang ditunggunya hingga dia lena dalam tempoh yang sebegitu lama. Tidak adakah yang dapat membuatnya jaga?

            “Koma adalah suatu keadaan di mana pesakit kehilangan kesedaran yang sangat dalam. Ia bukanlah suatu penyakit tetapi merupakan respon kepada penyakit yang bersangkutan dengannya. Pesakit dikatakan koma apabila mereka tidak dapat memberikan respons normal terhadap rasa sakit atau rangsangan cahaya. Ia berlaku apabila berlakunya trauma kecederaan yang serius yang berlaku pada otak dan tulang belakang. Selainnya, adalah akibat kerosakan pada pangkal hati,”
            Demikian penjelasan para genius pakar kesihatan dari hari pertama Nisha kami hantar ke hospital. Penjelasan saintifik itu sama saja bunyinya walau ke manapun Nisha kami usung selepas itu.
            “Jadi anak kami mengalami jenis koma yang mana satu? Jangkitan pada otak atau hati?” Tanya suamiku, selaku jurucakap. Dia memang selalu lebih tenang berbanding aku. Sedang aku, tetap selalu tenggelam dalam ketewasan air mata dan emosi.
“Malangnya, hasil dignosis kami menunjukkan bahawa kedua-duanya tidak mengalami sebarang masalah. Anak puan sihat secara fizikal. Dia hanya tidur. Benar-benar tidur,”
            Kali pertama mendengarnya, aku bingung. Tidak mungkin ada manusia normal yang tidur tanpa dapat dibangunkan? Tapi bila berkali-kali kata-kata yang sama dipaksa masuk ke telingaku, aku mulai jenuh. Aku sudah muak mendengar penjelasan yang pastinya akan berakhir dengan nasihat supaya kami terus bersabar.
            Klise.
            Kesabaran bagiku hanyalah sebuah kata-kata penyedap suasana yang semakin tiada maknanya. Tidak adakah kalimah penutup yang lebih baik dari itu? Hakikatnya, kesabaranku itu sebenarnya sudah senipis kulit mataku. Aku tidak tahu sampai bila lagi kesabaran itu mahu kuajak berunding.
             Aku menatap wajah mulus Nisha yang terus tidur pulas. Bangunlah anakku. Bukalah sepasang matamu yang indah dan selalu tersenyum itu. Mama begitu rindu pada desah rengekmu. Mama juga sudah rindu mendengar tawamu yang selalu berlari riang di dalam rumah mengejar entah apa-apa seolah-olah kau punya teman yang sedang mengejarmu. Bila kali terakhir mama melihatmu berdiri hidup seperti manusia normal?
            Aku masih ingat malam Selasa itu, Nisha yang manis tiba-tiba berubah menjadi cerewet. Segala sesuatu bagai tidak kena di matanya. Makin lama perangainya menjadi semakin aneh. Mulanya dia mengatakan bahawa ada tamu memberi salam. Bila Amran membuka pintu, ternyata tidak ada sesiapa di sana kecuali angin yang menerobos masuk mengidikkan bulu roma. Merasa dipermainkan, Amran memarahinya. Sebaliknya, kemarahan Amran disambut dengan tawanya yang lucu.
            Selepas itu, Nisha sudah mulai tenang. Cerewetnya lenyap dan dia sudah kembali pada dunianya yang aman. Dia pun mengeluarkan kotak permainan anak patungnya dan bermain sendiri. Sedikit malang bagi Nisha bila aku tidak mampu melahirkan anak sesudah kehadirannya. Kesunyian menjadikan dia mencipta teman khayalnya sendiri. Normal. Kanak-kanak seusia Nisha memang sering bercakap sendirian terutamanya bila sedang menikmati acara santai dengan patung barbie.
Ketika hari sudah beranjak malam, aku menyuruhnya berhenti bermain dan bersedia untuk tidur. Namun Nisha punya satu perangai buruk yang selalu membuat aku memarahinya. Dia tidak suka mengemas alat permainannya dan selalu membiarkannya bersepah di atas lantai. Lalu di situlah detik permulaannya. Entah mungkinkah takdir atau sial yang sengaja lewat, Nisha terpijak salah satu alat permainannya. Dia terguling di atas lantai. Kepalanya benjol di bahagian dahi. Setelah disapu sedikit ubat gosok, Nisha tidur dengan airmata yang masih di pipi. Besoknya, dia tidak pernah bangun lagi.
“Ku kira sudah sampai masanya kita beralih ke pengubatan  tradisional, Ning,” begitu saran Amran suatu malam.   
            “Maksudnya, ke dukun? Jangan syiriklah, bang,” jawabku enggan.
            “Pengubatan tradisional bukan hanya merujuk kepada dukun saja, Ning. Ilmu Allah itu luas. Kita dianjurkan berusaha semampunya tanpa melanggar batas akidah. Jangan kau sempitkan fikiranmu pada suatu definisi saja. Ada banyak kaedah rawatan alternatif di luar sana yang menggunakan pendekatan Islam,”
Mendengar itu aku terdiam. Kukira kata-kata Amran ada benarnya. Ilmu Allah itu luas. Bahkan ilmu kedoktoran yang moden itu juga datangnya dari inspirasi yang diberikan oleh Allah kepada hambaNya. Allah mengurniakan anugerahNya kepada sesiapa sahaja yang diinginkanNya. Selama ini aku menganggap bahawa kami telah kuat berusaha. Hakikatnya, kami hanya bertumpu kepada kaedah perubatan moden semata-mata. Kami seolah lupa kalau Allah menyediakan alternatif lain sebagai jalan untuk kita berusaha selama mana ianya tidak menyalahi akidah dan tauhid kepadaNya.
            Akhirnya aku mengangguk.
            “Besok aku akan mengajak mereka ke sini,”  
Besok itu pun tiba. Ia adalah malam Selasa yang menggenapkan tragedi itu ke usia empat bulan. Mereka datang selepas waktu Isyak. Tiga orang semuanya. Mereka adalah lelaki dalam lingkungan usia lima puluhan. Dua daripadanya berpakaian baju melayu dan berseluar hitam. Seorang lagi berkemeja putih dan berketayap. Kukira dia yang paling senior antara ketiganya. Senior dari segi umur, pengalaman dan ilmu. Aura dan wibawanya jelas terpancar dari wajahnya yang bersinar tenang dan ramah. Aku kemudiannya mengenalinya dengan nama Haji Salim.
Setelah basa-basi lebih kurang, kami mengajak mereka masuk ke bilik Nisha. Aku menyedari kalau saat itu Haji Salim terpempan melihat sekujur tubuh Nisha yang lena di atas pembaringannya. Dia kemudiannya memberi arahan kepada ahli rombongannya untuk segera memulai majlis. Dia duduk di sebelah kanan Nisha sementara yang lainnya berdiri di hujung katil. Kami hanya duduk memerhati dari sofa yang terletak di hujung dinding. Entah kenapa hatiku tiba-tiba merasa kurang senang dan selesa dengan semua ini.  
“Pertama sekali...,” Haji Salim memulai bicara. “Suka saya mengingatkan bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan manusia melainkan dengan seizinNya. Sama-samalah kita berdoa agar segala urusan kita ini dipermudahkan Allah, InsyaAllah,” tuturnya lembut. Dia memandang ke arahku seolah tahu hatiku mulai memberontak atas alasan yang tidak bersebab.
Majlis pun dimulai.  
            Ia bermula dengan doa dan bacaan juzuk amma diikuti dengan surah-surah lazim.  Selanjutnya, kalimah-kalimah zikir pun ditahmid yang kemudiannya membawa kepada acara yang kuanggap sangat spiritual. Segalanya berlangsung normal sehinggalah aku merasa tekakku tiba-tiba menjadi loya. Tulang belakangku mendadak menjadi ngilu dan aku merasakan kedinginan yang menyucuk dari pinggang sampai ke tengkuk. Alunan bacaan itu terus dimaterai. Bunyinya demikian mendayu menyucuk dari telinga sampai ke jantung. Aku merasakan telingaku menjadi kembang dan panas. Sakitnya datang perlahan-lahan lalu lama-kelamaan ia menjadi kesakitan yang luar biasa hingga aku mendengar bunyi desing yang amat kuat. Tanpa sedar, aku menekup telingaku dengan tapak tangan.
            “Ning...?” namaku dipanggil. Aku membuka mataku perlahan.  Amran menatapku hairan. “Kau kenapa?”
            Aku menggeleng lemah.
            Aku mengucap panjang dan berselawat. Apa yang kurasai ini?
Ketenangan pun hadir menyelimutiku kembali. Tapi sebentar kemudian, perasaan tadi hadir kembali untuk menyeksa aku. Suasana menjadi seram-sejuk dengan kedinginan yang hampir melumpuhkan kakiku. Aku memejamkan mataku rapat-rapat cuba mengusir segala kesakitan yang kurasai. Aku merasa tangan Amran memegang bahuku. Sentuhan itu meredakan sedikit keteganganku. Perlahan aku membuka mataku kembali.
            Begitu mataku buka, aku terpempan.
            Benarkah apa yang kulihat ini? Mengapa demikian ramainya manusia di sini? Dari mana mereka datang?
            Tunggu.
            Mereka itu, manusiakah? Kenapa semuanya berwajah dan berpakaian aneh? Ada yang berbadan bulat dan gempal dengan ketinggiannya yang melebihi paras manusia normal. Ada yang datang tanpa pakaian menutup dada, hanya berbekal kain pelikat hijau muda yang menutup dari bawah pusat ke paras betis. Ada yang duduk bersimpuh di sebelah Haji Salim dengan jubah hitam panjang.  Seorang perempuan berpakaian ala-ala seorang puteri keraton dari zaman silam duduk membelai Nisha dengan sepenuh kasih sayang dari sebelah kiri. Demikian asyiknya dia mengusap dahi Nisha seakan Nisha itu adalah anaknya sendiri.
            Tunggu.
            Ada sesuatu lagi sedang merayap di atas siling. Ia adalah makhluk bertubuh kurus kering dengan kepala seperti kerbau hutan. Ada tiga ekor semuanya. Dua daripadanya memandang ke arah Nisha, sementara yang satu lagi sedang memandang ke arah aku. Sepasang matanya yang bulat dan besar bersinar nyalang. Lidahnya berjelir seakan dia dapat membaca seluruh ketakutanku. Aku dapat merasakan arus adrenalinku yang mengalir laju. Ketika makhluk itu berseringai penuh nafsu kepadaku, aku menjerit sekuatnya. Sesaat. Segalanya kemudian menjadi gelap dan kelam.
***
            Aku membuka mataku perlahan.
Perkara pertama yang kulihat adalah awan yang bersinar dalam suasana senja yang tenang. Aku berada di sebuah padang rumput hijau yang luas. Tanahnya tidak rata dan sedikit berbukit. Sebuah pohon besar yang rimbun terlihat di hujung padang. Di bawah pohon itu terdapat sebuah pagar kayu merentang memagari kawasan padang.
Di mana aku?
Aku mendengar suatu suara berbisik di telingaku, “Assalamualaikum...” itu suara Haji Salim. Aku melihat ke sekeliling. Tidak ada sesiapa di sana melainkan aku.
Salam terus diulang.
“Walaikumsalam,” aku menjawab dalam hati.
“Ning?”
“Ya. Pak Haji, kau di mana? Aku tidak dapat melihatmu,”
“Kau memang tidak dapat melihatku kerana aku tidak ada di sana,”
“Aku di mana?”
“Kau berada di dunia astral. Jangan bersuara lagi, Ning. Nanti mereka tahu kalau kau bukan sebahagian dari mereka. Hanya dengarkan saja suaraku dan turutilah arahanku,”
“Mereka? Mereka siapa?” tanyaku ketakutan. Sungguh aku tidak melihat sesiapa di sini.
“Banyakkan beristighfar, Ning. Dunia yang kau hadapi ini adalah dunia yang pernah kau lalui dulu. Tetapkanlah niatmu untuk mencari anakmu kembali. Dia ada di sebelah pagar sana,”
 Bagaikan sebuah dejavu, imbasan visual-visual pendek muncul di kepalaku. Ia bergerak dan berubah dengan cepat sebelum aku sempat merakam setiap satunya. Haji Salim benar. Aku pernah berada di sini dulu. Tapi bila? Dan kenapa aku ke sini? 
“Berjalanlah, Ning. Rentasi padang itu terus ke hujung pagar. Cari anakmu sampai dapat. Segeralah bertindak sebelum malam menjelang,”
Demi Tuhan aku tidak mengerti apa yang berlaku. Lebih malang lagi aku tidak punya waktu yang untuk memikirkan logika semua ini. Bagaikan dipukau, aku menurut arahan yang diberikan. Aku berjalan merentasi padang rumput dan menuju ke atas bukit. Sampai di hujung bukit, aku memanjat pagar kayu yang tingginya hanya separas pinggangku. Pagar itu menjadi sempadan antara padang dan...
Sekali lagi aku terpempan.
Di hadapanku kini, terdapat sebuah perkampungan yang amat luas dengan rumah-rumah kayu tradisional.
“Turunlah, Ning. Masuk terus ke kampung itu. Berjalanlah dengan wajah tunduk dan jangan menegur siapa-siapa pun yang kau jumpai. Bersikaplah sewajarnya dan jangan lupa untuk berzikir,”
Aku menuruti arahan itu bersama kepatuhan yang mutlak.
Aku pun sampai ke perkampungan yang aneh itu. Meski kepalaku menunduk, aku dapat melihat dengan jelas manusia yang ada di kelilingku. Mereka menjalani kehidupan tradisional seperti manusia di zaman lampau. Ada yang berdagang dan ada pula yang membeli. Rumah-rumah kayu menderet sepanjang perjalanan. Anehnya, mereka berpakaian satu warna dari atas sampai ke bawah. Aku tidak dapat melihat dengan jelas wajah mereka. Sesekali aku berpapasan dengan manusia bertubuh antara jernih dan putih hingga terlihat urat-urat hijau di balik kulitnya. 
            “Belok ke kanan dan kau akan menjumpai sebuah istana lama. Jangan masuk ke istana itu. Pergilah ke bahagian belakang istana dan kau akan dapati ada sebuah taman di situ. Cari anakmu di sana,”
            “Lepas tu?”
            “Bila kau sudah jumpa anakmu, panggil dia. Bawa dia pergi. Selebihnya, serahkan padaku,”
            Aku mengikuti arahan itu laksana seorang askar yang patuh.
            Sebuah taman seperti yang dibisikkan Haji Salim kini terbentang di hadapanku. Taman itu penuh dengan kanak-kanak seusia Nisha. Aku melihat sekumpulan kanak-kanak meloncat kegirangan di banir pokok. Ada yang melempar-lempar batu dan menendang bola dan ada pula yang bertepuk tangan. Mereka saling mentertawakan salah seorang dari mereka yang berhasil membuat aksi lucu.
Pada sebelah yang lainnya pula, sekumpulan kanak-kanak meluncur di atas papan di sebuah kolam kecil yang penuh teratai. Aku melangkahkan kakiku mendekat. Tidak jauh dari sana, kusaksikan kanak-kanak menaikkan layang-layang. Mereka bersorak girang begitu dapat menaikkan layang-layang mereka ke udara. Mereka kemudiannya menari dan menyanyi. Alunannya kedengaran gemersik ke telingaku. Merdu. Aku bagai tercandu oleh suasana yang indah itu.
“Cari anakmu, Ning,”
Bisikan itu mengejutkan aku yang sudah mulai lupa dengan niatku.
Aku melangkah lagi menebarkan pandanganku serata tempat. Aku terus mencari wajah manis Nisha di celah keramaian itu.
Tiba-tiba seorang kanak-kanak perempuan sekecil Nisha merapati aku. Wajahnya mirip Nisha hanya saja kulitnya sedikit gelap seperti kulitku. Tanpa suara,  dia menggandeng tanganku dan menuding jarinya ke suatu arah. Aku menuruti telunjuk jarinya dengan mataku. Ternyata, di bawah pohon sana, seorang budak perempuan yang sangat kukenali dan kurindui sedang berdiri menatap aku.
“Nisha...” aku berlari selajunya menuju kepada Nisha. Kami berpelukan erat antara rindu dan haru. Tangis kami meledak tidak terkendalikan lagi.  
“Bawa dia pergi, Ning. Secepatnya. Sebelum ada yang menyedari kehadiranmu,” demikian bisik suara itu menghentikan tangis kami.
Tanpa banyak bicara aku menggendong Nisha. Ketika aku mahu memusingkan badanku, aku merasa ada sesuatu menyekat pergerakan kami. Aku menoleh ke belakang. Ternyata, gadis kecil tadi sedang berpegangan tangan dengan Nisha.
Aku mahu merentap pegangan itu tetapi sesuatu dalam mata anak itu menghentikan niatku. Anak itu menatap aku dengan wajah lugu dan sendu. Aku seperti mengenali mata itu. Mata yang berkelopak layu dengan bebola mata berwarna coklat tua yang jernih itu demikian hampir dengan kehidupanku. Rambutnya yang panjang lurus separas bahu dengan anak rambut menutup ke dahi mengingatkan aku pada seseorang.
“Cepat, Ning!” bisikan berupa jerit itu menyentap lamunanku. Lalu tanpa basa-basi aku meleraikan pegangan tangan mereka dan membawa Nisha beranjak pergi dari situ. Aku berlari selajunya melewati lagi laluan-laluan yang telah kujalani sebentar tadi. Hari sudah mulai beransur gelap. Aku harus segera sampai ke kawasan perkampungan sebelum malam menjelang. Aku khuathir akan sesat di padang rumput yang luas itu tadi. Di sana pasti akan sangat gelap nanti.
            Sesunggunya, menggendong anak seberat Nisha sambil berlari bukanlah sebuah pekerjaan yang mudah. Kakiku sudah mulai lelah dan nafasku juga sudah mulai sesak. Ketika sampai ke pasar, suasana sudah mulai sunyi. Aku terus berlari semahuku hingga aku terlupa pada pantang yang telah diingatkan padaku sejak mula lagi. Bukankah aku sepatutnya jalan menunduk? Tindakanku mengundang perhatian yang bukan kepalang. Mereka akhirnya menyedari kalau kami bukanlah sebahagian dari mereka. Beberapa orang lelaki berdiri menuruti jejak kami. Langkahku terhenti. Kaku.
             Kami kini berdiri di tengah kumpulan manusia, itu pun kalau masih boleh dipanggil manusia. Wajah dan bentuk badan mereka memang mirip manusia. Mirip. Tapi tidak sama terutamanya pada bentuk telinga mereka yang runcing ke atas. Aku dapat merasakan pelukan Nisha yang kuat di leherku. Nafasku semakin sesak. Aku tidak tahu harus melakukan apa selain meneruskan zikir dalam hati.
            Tiba-tiba aku melihat gadis kecil yang menjadi teman Nisha tadi berlari ke arah kami. Dia menerobos masuk ke kumpulan manusia yang sedang mengelilingi kami. Kehadirannya menimbulkan satu suasana magis yang bukan kepalang. Manusia-manusia yang berkeliling di sekitar kami itu tadi kehilangan jejak untuk mencari kami. Kami bagaikan halimunan. Tiada siapa antara mereka yang mampu melihat kami meski kami masih tetap berdiri di tengah mereka.
Tanpa bicara dia mendorong kami ke hadapan meminta kami untuk terus berlari keluar dari medan itu. Sebuah kekuatan yang entah dari mana datangnya menyusup masuk ke sukmaku. Kami bertiga berlari laju menuju ke belokan padang yang terletak di atas bukit. Sementara di belakang sana, manusia-manusia bertelinga runcing itu terus mencari dan mengejar kami tanpa mengetahui lokasi kami.
            Ketika sampai di atas bukit, kami berhenti. Aku perlu menurunkan Nisha terlebih dahulu untuk menyeberangi pagar kerana tidak mungkin aku mampu memanjat pagar sambil menggendongnya. Setelah Nisha selamat kuletakkan di sebelah pagar, aku disergap rasa ragu. Perlukah kubawa anak ini bersama?
            Aku menatap wajahnya yang juga sedang menatap aku.
            “Terima kasih,” kataku sepatah. Apalagi perkataan terbaik untuk dia yang telah menggadaikan nyawanya untuk kami? Dia mengangguk.
            “Sudah lama aku menunggu kau datang ke sini kembali menjenguk aku,” katanya sedih.
            “Kau siapa?” tanyaku sepatah.
            “Tidakkah kau ingat aku?”
            Aku menggeleng. Aku cuba mengingat tapi tidak ada satupun pembayang yang muncul kecuali seraut wajahnya yang samar-samar dalam ingatanku. Tiba-tiba anak itu menjerit kesakitan. Dia tertelungkup di hadapanku dengan sebusur anak panah yang tertancap di belakangnya. Aku mendengar suaranya merintih kesakitan.
            “Mama....!” aku mendengar teriakan Nisha. Jarinya menuding ke hadapan.
            Dari tempat kami berdiri ini, aku melihat puluhan manusia bertelinga runcing itu menuju ke arah kami. Dasyat! Mereka sudah dapat menjejak kami kembali.
            Bersama kekuatan yang masih ada, aku akhirnya menggendong gadis kecil itu di belakangku. Aku kemudiannya memanjat pagar dan menggendong Nisha di bahagian hadapan. Aku berlari laju menerobosi padang hijau yang kulalui tadi. Manusia-manusia aneh itu terus berada di belakang kami. Mereka semakin dekat. Seorang lelaki berada demikian hampir dengan kami. Kalau dia mendepangkan tangannya, nescaya dia mampu merentap gadis kecil yang berada di gendongan belakangku.
            Tiba-tiba aku mendengar laungan azan berkumandang. Serentak itu, sebuah bebola kecil berwarna putih dengan sinar yang terang muncul di hadapan kami. Hatiku berkata bahawa aku harus mengikut jejak bebola putih itu. Aku berlari selajunya hinggalah kami sampai ke hujung padang. Cahaya putih itu berhenti. Ia kemudiannya bertukar menjadi bebola yang semakin membesar. Saiznya cukup untuk memuatkan tubuhku ke dalamnya.
Aku menerobos masuk ke dalam bulatan itu. Ketika sebelah kaki kulangkahkan ke hadapan, aku merasa belakangku direntap dengan kasar. Manusia bertelinga aneh itu ternyata telah berjaya merenggut gadis kecil di belakangku.
            “Ning....!” Nisha menjerit histeria. Kukira dia memanggil aku. Tapi ternyata aku silap. Nisha tidak bermaksud menujukan panggilan itu kepada aku, mamanya. Dia juga sama sekali tidak memandang aku. Matanya bulat melotot memandang sahabatnya yang kini berada dalam genggaman si telinga runcing.
            “Selamatkan Ning, mama,” jerit Nisha sebelum dia hilang di balik cahaya putih.
            Aku membalikkan tubuhku cuba untuk menyelamatkan sahabat anakku. Malangnya, separuh badanku sudah berada di dalam bulatan. Bulatan itu pula semakin mengecil memaksa aku untuk terus memasukkan sebahagian lagi badanku sebelum bulatan itu menjadi lenyap sepenuhnya. Segalanya berlaku demikian cepatnya hingga akhirnya segalanya menjadi kelam. Gelap. Hanya ada suara azan dan zikir yang terus bertahmid.
              Ning. Jadi nama gadis itu juga Ning?  Perlahan aku cuba mencerna segalanya.
           


Comments

Popular posts from this blog

Puteri Alam Zara

Ada Hantu Di Kepalaku